Mas Idayu Tak Tahu Pun Video 'Ada Nampak Mummy Happy' Tular


PENYANYI dangdut popular yang juga juri program realiti Indonesia D’Academy Asia (DAA), Mas Idayu, tidak tahu videonya memarahi Baby Shima, tular.

Mas Idayu juga mengakui tidak sedar ungkapan “ada nampak Mummy happy” turut diparodikan oleh orang ramai.

“Memang kurang tahu dan saya tidak peduli tentang media sosial se­perti Instagram kecuali kalau ada orang yang memberitahu.

“Saya hanya melihat Instagram untuk mengetahui perkembangan seni dan kemudian saya akan tutup.

“Tentang video yang tular atau ada yang menjadikan ungkapan tersebut sebagai parodi, saya biasa sahaja. Lucu juga kerana adik sendiri bikin video parodi, meniru suara dan gaya saya,” katanya.


Selain itu Mas Idayu turut menjawab dakwaan sesetengah netizen yang menganggap tegurannya terhadap Baby Shima keterlaluan.

“Saya marah Baby Shima yang juga mewakili Malaysia untuk kebaikan dia juga. Jika pada pandangan orang lain ia keterlaluan, itu terserah pada penilaian masing-masing," katanya seperti dipetik oleh Kosmo!.

“Saya cuma menjalankan tanggungjawab saya sebagai juri dan memberi teguran mengikut apa yang dirasakan perlu.

“Baby Shima juga tiada masalah dengan saya selepas peristiwa itu, malah hubungan kami erat seperti biasa kerana dia tahu saya menegur bukan suka-suka tetapi untuk kebaikan dia,” ujarnya.

Sumber: Astro Awani