Kemelut yang berlaku dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagi mengadakan mesyuarat agung (AGM) pertama parti itu dijangka berlanjutan.
Sebelum ini beberapa bahagian parti itu di Johor membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kerana kegagalan pemimpin atas PPBM melaksanakan AGM seperti mana yang diperuntukkan oleh RoS dan juga perlembagan parti.
Masa semakin suntuk bagi parti yang baharu ditubuhkan lebih setahun lalu itu.
Kegagalan untuk mematuhi perlembagaan parti menyebabkan PPBM mungkin tidak dapat menyertai PRU14 selain mengheret masalah kepada parti gabungan pembangkang Pakatan Harapan untuk didaftarkan.
Semalam RoS mengadakan pertemuan tertutup dengan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membincangkan mengenai isu dalaman parti itu dan bagi menyelesaikan permohonan pendaftaran Pakatan Harapan.
Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim berkata, hasil pertemuan antara pucuk pimpinan parti itu dengan Ketua Setiausaha KDN semalam, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta supaya pertemuan tersebut dipercepatkan bagi membolehkan parti itu mengadakan mesyuarat agung tahunan.
“Apabila Tan Sri (Muhyiddin) memohon supaya pertemuan tersebut dipercepatkan, ROS memaklumkan akan bertemu dengan Setiausaha Agungnya pukul 5 petang ini bagi mendengar apa tindakan PPBM bagi memastikan mereka dapat mengadakan mesyuarat agung (AGM) pada tahun ini juga.
“PPBM perlu mematuhi perlembagaan parti sendiri iaitu mereka mesti mengadakan mesyuarat agung pada setiap tahun dan pertemuan tertutup itu membolehkan saya mendengar apa persiapan mereka bagi melaksanakan tanggungjawab tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Outreach Pengurusan Pertubuhan Berintegriti dan majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah bersama Pertubuhan Pendaftar NGO negeri Melaka di Duyong semalam.
Jumaat lalu, RoS memberi amaran kepada PPBM bahawa parti itu boleh dibatalkan kerana melakukan tiga kesalahan iaitu tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti.
Persoalan yang timbul sekarang sempatkah PPBM mmembuat persiapan untuk mengadakan mesyuarat agung sebelum tahun ini berakhir.
DAP di peringkat awal juga dikatakan tidak begitu bersetuju untuk menggunakan satu nama parti dan satu lambang bagi menghadapi PRU14. - Kedahnews.com