Masih Lagi Pelakon, Kamal Tak Anggap Dirinya Pelawak


MENJADI seorang pelakon dan pada masa sama sebagai pelawak bukanlah mudah bagi juara Super Spontan Superstar 2017 (SSS2017), Kamal Adli.

Kariernya sebagai anak seni bermula apabila dia dinobatkan sebagai juara Hero Remaja 2007/2008 dan bergelar model di pentas peragaan sebelum menjadi pelakon sampingan.

Namun kini, nama Kamal sudah menjadi bualan hangat di bibir-bibir netizen. Kejayaan pelakon yang berasal dari Pahang itu menerusi SSS2017 benar-benar telah ubah kehidupannya sendiri.

Walaupun telah bergelar juara bagi program pertandingan lawak, tetapi pelakon drama Sha dan Shah itu masih belum bersedia untuk digelar sebagai seorang pelawak.

“Saya masih pelakon biasa seperti dahulu. Bezanya, sudah tertulis rezeki saya untuk memenangi SSS2017 dan menewaskan pelawak-pelawak yang ada.

“Seperti pelakon lain, saya masih meneliti skrip dan jalan cerita sesebuah naskhah sebelum menerima sesuatu tawaran.

“Tak kisahlah jika karya itu berbentuk serius, lawak atau seram, saya akan menerimanya jika jalan ceritanya bagus,” katanya dipetik daripada portal Astro Gempak.

Tambah Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, kemenangan yang diperolehnya itu merupakan ‘pengubat’ kepada segala dugaan yang menimpa dirinya baru-baru ini.


Bukan sahaja tertekan dengan kisah peribadi cintanya bersama pelakon Emma Maembong yang dikatakan telah putus di tengah jalan.

Ditambah pula apabila motosikal besar berkuasa tinggi jenis Aprilia Shiver miliknya dikatakan telah hilang di kediamannya, di Taman Cempaka, Ampang, Selangor.

“Sepanjang minggu lalu, saya berada dalam keadaan tertekan. Pelbagai kontroversi terjadi yang melibatkan diri saya.

“Kemuncaknya pula apabila motor saya hilang dicuri. Namun begitu, saya tidak mahu mengalah dan cuba memberikan sepenuh fokus kepada SSS2017.

“Alhamdulillah, kemenangan dalam pertandingan ini menjadi penawar duka untuk saya. Saya tak jangka akan menang dan sangat berterima kasih kepada semua pengundi dan peminat,” tambahnya.

Melihat kepada kemenangan yang diperolehinya itu jelas menunjukkan bahawa masih ada pelakon biasa yang mempunyai bakat menjadi pelawak.

Kamal selaku anggota kumpulan King Musang dalam program itu telah membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000 dan trofi kemenangan.

Manakala, naib johan menjadi milik Fad Bocey dan ketiga jatuh kepada Achey Bocey. Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000 dan RM25,000 bersama trofi.

Agak-agak lepas ni siapa pula pelakon yang akan bergelar pelawak? Mana tahu nanti bertambah ramai pelawak yang ada dalam industri hiburan tempatan kita ni. - Kedahnews.com