DALAM kesibukan mempromosikan single terbarunya iaitu Hilang, nampaknya penyanyi Marsha masih sempat menjalankan ibadahnya sebagai seorang saudara baru.
Penyanyi, Marsha atau nama sebenarnya Marsha Milan Londoh hari ini bakal menunaikan umrah bersama-sama suami dan keluarganya.
Perkhabaran itu telah dikongsikan melalui Instagramnya. Finalis AF Megastar ini turut memohon doa daripada peminat dan pengikutnya agar urusan umrahnya dipermudahkan.
Marsha turut berkongsi persiapan yang dilakukan dengan pengikut-pengikutnya di laman Instagram.
Tiga hari lalu, Marsha telah selesai mengikuti kursus umrah bersama suaminya.
“Alhamdulillah selesai kursus umrah bersama suami tercinta,” tulisnya di laman Instagram.
Nampaknya, setelah hampir dua tahun memasang niat untuk mengerjakan umrah sejak masuk Islam, hajatnya bakal dilaksanakan tidak lama lagi.
“Insya-Allah, saya akan menunaikan umrah pada 1 November (hari ini) bersama-sama keluarga saya,” katanya dipetik Astro Gempak.
Dalam pada itu, pengikut serta peminat-peminatnya menyambut baik berita yang disampaikan itu dan mendoakan Marsha dapat beribadah dengan tenang.
Bukan itu sahaja, malah ada antara mereka yang mendoakan agar penyanyi itu akan berhijab selepas kepulangannya dari Tanah Haram dek kerana kecantikannya bertudung.
“Lawa Marsha pakai tudung. Semoga berterusan, dipermudahkn dan berjalan dengan lancar menjalani ibadah umrah brsama suami tersayang. Amin..,” tulis @fs_shaniayana.
Komen @adilachin pula, “Cantiknya Marsha pakai tudung. Semoga pintu hatinya terbuka untk berhijab ya Allah.”
Doakan sahaja yang baik-baik untuk Marsha, mungkin betul sebaik pulang dari mengerjakan umrah, pintu hatinya dijentik Allah untuk terus berhijab. - Kedahnews.com