Mayat Buruh Indonesia Sangkut Dalam Longgokan Sampah


Kuantan - Mayat buruh binaan warga Indonesia yang terjatuh ke dalam sungai ketika memancing bersama rakan di tapak pembinaan jambatan di Kemunting, kelmarin, ditemui terperangkap dalam longgokan sampah, semalam.

Mayat mangsa Ahlul Zikri, 24, ditemui pasukan penyelamat dalam keadaan tertiarap dan lengkap berpakaian pada 9.45 pagi tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan jatuh.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, mayat mangsa dibawa naik pasukan penyelamat dan dihantar ke Rumah Mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, untuk bedah siasat.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa sedang memancing bersama seorang rakan selepas pulang dari kerja sebelum terjatuh ke dalam sungai,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, rakan mangsa yang menyaksikan kejadian itu tidak mampu berbuat apa-apa sebaliknya hanya melihat mangsa tenggelam ke dalam sungai.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah ditutup dan polis mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang terbabit dalam SAR.

Sumber: Metro