MALAYAN Banking Bhd (Maybank) melancarkan perkhidmatan pengesahan keselamatan pengenalan muka dan suara yang dikenali sebagai ID Muka dan ID Suara bagi membolehkan pelanggan mengakses keseluruhan portfolio akaun mereka menerusi Aplikasi Maybank2u.
Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Malaysia, Datuk Hamirullah Boorhan berkata, peranti mudah alih pelanggan mesti dilengkapi kamera hadapan dengan resolusi grafik minimum 2.0 megapixel dan tersedia mikrofon.
Ciri baharu ini akan memberi manfaat besar kepada pelanggan, terutama mereka yang tidak mempunyai alat pengimbas cap jari, dan dalam keadaan cap jari mungkin tidak boleh dibaca.
"Menggunakan pendekatan keselamatan bertingkat, dengan kriteria akses yang berbeza, serta menggabungkan pengetahuan pelanggan, apa yang mereka miliki dan lokasi mereka, akan membantu mengurangkan penipuan dan penyalahgunaan," katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Hamirullah berkata berdasarkan jumlah transaksi mudah alih yang besar, Maybank merasakan perlunya usaha untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dengan menawarkan akses kepada akaun mereka dengan cepat.
Menjelang akhir 2017, lebih satu bilion urus niaga mudah alih akan melalui sistem digital Maybank2u bernilai lebih RM22 bilion.
Setakat Oktober 2017, pertumbuhan tahun ke tahun dalam urus niaga kewangan mudah alih mencapai 95 peratus. - Bernama