Melaka Larang Kemasukan Babi Dari Luar


MELAKA- Kerajaan negeri melarang kemasukan babi diternak dari luar bagi mengelak pencemaran khususnya di sungai akibat pelepasan sisa kumbahan binatang itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman, berkata pihaknya baru-baru ini mengesan babi dari luar dibawa masuk antara jam 2 pagi hingga 3 pagi.

"Ini tidak sepatutnya berlaku. Kita tidak benarkan babi yang diternak dari luar dibawa masuk dan dipotong di sini. Melaka tidak mahu terima dan hanya khaskan (babi di Melaka) untuk rakyat negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Pertandingan Kayak Sprint 2017 sempena Festival Antarabangsa Sungai Melaka 2017, yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Ismail Hashim, di Dataran Sungai Melaka, di sini, hari ini.

Ismail berkata, isu pencemaran teruk di Sungai Tuang akibat pelepasan sisa ternakan babi sekitar Paya Mengkuang, Alor Gajah, dekat sini, sebelum ini bakal berakhir susulan penternak sudah mengambil langkah menyelesaikan isu terbabit.

"Mereka (penternak) memberi kerjasama dengan mengemaskini dan memantau perkembangan sisa kumbahan yang dibuang malah turut melantik pegawai untuk melakukan pemantauan.

"Tiada lagi air kumbahan sisa keluar ke sungai seperti sebelum ini dan jika masalah ini berulang tindakan lebih tegas dikenakan," katanya.

Katanya, kira-kira empat kandang babi di kawasan itu akan turut ditutup apabila penternak perlu mematuhi pelan baharu.

Sumber: BH Online