Mesir Janji Tindakan Tegas Susulan Pengeboman


KAHERAH - Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi hari ini berjanji untuk bertindak balas dengan tegas, selepas beberapa penyerang nekad membunuh sekurang-kurangnya 235 jemaah, ketika waktu solat Jumaat di wilayah pedalaman utara Sinai, semalam.

Al-Sisi mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari, mulai hari ini selepas serangan tembakan dan pengeboman di masjid Rawda yang terletak kira-kira 40 kilometer di barat ibu wilayah utara Sinai, El-Arish.

Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen, Presiden berjanji untuk bertindak balas dengan kekerasan, sambil menambah bahawa tentera dan polis akan membalas dendam bagi mereka yang syahid bagi mengembalikan keselamatan dan kestabilan dalam tempoh singkat.

Beberapa jam kemudian, beberapa jet tentera udara Mesir memusnahkan beberapa kenderaan yang digunakan dalam serangan itu dan beberapa lokasi pengganas yang disyaki digunakan untuk menyimpan senjata dan peluru mereka, kata jurucakap tentera.

Saksi berkata, beberapa penyerang mengepung masjid dengan kenderaan yang mampu digunakan dalam semua keadaan jalan dan meletupkan sebuah bom.

Mereka kemudian membunuh jemaah yang cuba melarikan diri serta menggunakan kenderaan mangsa yang dibakar untuk menghalang jalan ke masjid itu.

Dalam satu kenyataan, pejabat pendakwa raya Mesir berkata, 235 orang terbunuh dan 109 lagi cedera dalam serangan itu dan ia adalah jumlah korban luar tertinggi dalam pemberontakan selama empat tahun beberapa kumpulan pelampau. - AFP