Mesir Lancar Serangan Balas


KAHERAH – Tentera Mesir melancarkan serangan balas ke atas beberapa kenderaan dipercayai milik anggota pengganas yang bertanggung­jawab meletupkan bom dan menembak jemaah di sebuah masjid di Sinai Utara kelmarin.

“Serangan itu berjaya membunuh kesemua yang berada di dalam kenderaan terbabit,” kata jurucakap tentera Mesir, Tamer al-Refaay dalam satu kenyataan lewat kelmarin, lapor agensi berita Xinhua.

“Di samping itu, tentera udara menyasarkan sejumlah kawasan persembunyian yang mengandungi senjata dan peluru milik pengganas,” kata jurucakap itu.

Serangan bom dan tembakan terhadap jemaah solat Jumaat di Masjid Al Rawdah itu sehingga semalam menyebabkan 305 kematian termasuk 27 kanak-kanak, manakala lebih 128 cedera.

Pejabat pendakwa raya dalam satu kenyataan mem­beritahu, penyerang bersenjata berkenaan yang menaiki beberapa kenderaan dan membawa bendera militan Daesh berjumlah antara 25 hingga 30 orang.

“Mereka melepaskan tembakan melalui 12 tingkap masjid menggunakan senjata automatik,” menurut kenyataan pejabat pendakwa raya.

Serangan itu dikatakan dilakukan oleh kumpulan militan yang taat setia kepada Daesh dan berpangkalan di Sinai yang mendakwa melakukan operasi pengganas berskala besar di Mesir sejak beberapa tahun lalu.

Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi (gambar kecil) dalam ucapan di televisyen pada petang Jumaat lalu berkata: “Serangan pengganas yang berdosa itu hanya akan me­ningkatkan kekuatan, resolusi dan perpaduan kami dalam menentang keganasan.”

Beliau turut berikrar akan bertindak balas secara lebih tegas terhadap kumpulan pelampau dan pengganas berkenaan.

Abdel Fattah turut menerima beberapa panggilan telefon daripada ramai pemimpin dunia sejak kelmarin yang menyampaikan ucapan takziah berhubung serangan tragik dan menyuarakan sokongan mereka untuk negara Afrika Utara itu dalam perang menentang keganasan. – Bernama