Minta Bantuan ATM Bantu Mangsa Banjir, Guan Eng Ucap Terima Kasih Pada Zahid


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berterima kasih kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana menjawab panggilannya jam 3.30 pagi tadi bagi meminta bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan banjir yang semakin buruk.

"Saya berjaya menghubungi Timbalan Perdana Menteri bagi mendapatkan bantuan.
"Terima kasih kerana jawab panggilan saya hampir jam 3.30 pagi.

"Keadaan semakin genting. Air masih naik, angin masih kuat, air naik antara tiga hingga 3.6 meter melepasi bumbung di Pulau Pinang.

"Pusat pemindahan tiada bekalan elektrik. Pulau Pinang terpaksa minta bantuan ATM," katanya dalam kenyataan, pagi tadi.

Beliau berkata, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berjanji akan menghantar anggota ATM bagi membantu menyelamatkan mangsa banjir di Pulau Pinang.

Guan Eng turut meminta semua pihak bersabar dengan keadaan semasa dan pihaknya akan memastikan bantuan sewajarnya disalurkan.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya mengutamakan keselamatan.

Hujan lebat sejak pagi semalam menyebabkan hampir semua kawasan di Pulau Pinang dilanda banjir, namun keadaan dilaporkan masih terkawal.

Sekurang-kurangnya 18 pusat pemindahan banjir sementara dibuka di tiga daerah di Pulau Pinang setakat jam 2 pagi tadi bagi menempatkan hampir 400 mangsa banjir kilat yang melanda negeri itu sejak petang Sabtu.

Pusat pemindahan itu masing-masing lima di daerah Barat Daya , 11 di Seberang Perai tengah manakala dua di Seberang Perai Utara.

Antara kawasan yang terjejas banjir ialah sekitar kawasan Bayan Lepas, Pulau Betong, Teluk Bahang, Seberang Jaya,Ppenanti, dan Tasek Gelugor.- Kedahnews.com