MPKK Bantu Selesaikan Sewa Rumah Mangsa Tanah Jerlus Di Kulim


KULIM - Mangsa  tanah jerlus akibat terowong air bawah tanah pecah di Jalan Selasih 5 di Taman Selasih di sini kini mampu menarik nafas lega apabila urusan pindah rumah dan kos sewa rumah baharu itu telah diselesaikan Majlis Perbandaran Kulim (MPKK).

Yang Dipertua MPKK, Rohaizad Rashid berkata mangsa dari lima rumah yang sebelum ini menetap di Kulim Inn sejak hari pertama berlakunya kejadian itu sudah pun berpindah ke rumah sewa yang kosnya ditanggung oleh MPKK untuk tempoh tiga bulan.

“Kita bagi pilihan kepada mangsa untuk memilih sendiri lokasi rumah sewa bagi memudahkan mereka dalam urusan seharian seperti persekolahan anak-anak dan tempat bekerja.

“Setakat ini, kita telah selesaikan urusan deposit rumah sewa dan kebanyakan mereka sudah berpindah masuk ke rumah sewa bermula semalam dengan anggaran sewa rumah adalah antara RM400 hingga RM500,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis penyerahan bantuan mangsa tanah jerlus di sini hari ini.

Kejadian itu turut mendapat perhatian kerajaan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meninjau sendiri keadaan tanah jerlus itu pada Isnin lepas.

​​​​​​​Terowong air bawah  tanah itu pecah  hingga meruntuhkan sebahagian jalan berdekatan rumah penduduk di sekitar Jalan Selasih 5 di Taman Selasih di sini akibat hujan lebat Sabtu lepas.

Rohaizad berkata bantuan di bawah tabung Muafakat Kedah  itu bagi meringankan beban mangsa tanah jerlus itu yang terpaksa berpindah ke tempat lain buat sementara waktu atas faktor keselamatan.

Beliau berkata MPKK juga menyediakan kemudahan lori untuk membantu mangsa memindahkan barangan ke rumah sewa sekiranya diperlukan selain sumbangan RM500 bagi menampung keperluan mereka.

Dalam pada itu, seorang mangsa Khairul Fazilah Abu Bakar, 36, yang berpindah ke rumah sewa di Lunas sejak semalam, berkata dia lega urusan perpindahan dan sewa rumah sudah selesai dengan baik.

Seorang lagi mangsa Mohamad Khairi Abdul Rahman, 36,  berkata dia mendapat rumah sewa berhampiran Taman Selasih yang memudahkan urusan persekolahan anaknya.

“Saya lega kerana MPKK prihatin dengan masalah kami malah menggandakan usaha untuk mempercepatkan kerja-kerja baik pulih kawasan tanah jerlus tersebut," katanya. - Bernama