Mukhriz Main Politik 'Kedai Kopi' Apabila Cadang Kembalikan Subsidi Minyak


CADANGAN Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir supaya kerajaan mengembalikan subsidi petrol hanya sekadar menarik simpati rakyat terhadap partinya menjelang PRU14. 

Beliau juga mengulangi agar kutipan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) dikembalikan kepada Kedah. 

Semasa membahaskan Bajet 2018 di sidang DUN Kedah baru-baru ini, Mukhriz yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Kedah cuba mengeliru rakyat walaupun beliau sedar hasil GST itu juga adalah pendapatan negara yang turut diagihkan ke setiap negeri untuk projek pembangunan rakyat.

Bagi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin tindakan Mukhriz yang menabur maklumat separa benar berhubung perkara itu menunjukkan yang beliau cuba bermain politik di peringkat ‘kedai kopi’.

"Ia tidak lebih daripada percubaannya untuk menjadi populis secara songsang, " kata Shaiful Hazizy dalam satu kenyataan semalam. 

Menurutnya, cadangan yang dikemukakan tanpa memberi jalan keluar secara konkrit terhadap masalah sebenar boleh diibaratkan sebagain tindakan politik tidak bertanggungjawab.

“Hakikatnya sehingga kini beliau masih belum memberi penjelasan dan penyelesaian mengenai kehilangan RM40 bilion pendapatan negara akibat penurunan harga minyak dunia selain gagal memberi jawapan sama ada perbelanjaan berhemah yang dilaksanakan mampu menangani situasi ekonomi dunia yang berada di luar kawalan kita?” katanya. 

Menurut laporan akhbar, Mukhriz mendakwa kerajaan masih boleh mengekalkan subsidi petrol dan diesel sekiranya mengamalkan pengurusan kewangan berhemah tanpa perlu merujuk kepada harga minyak dunia. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam itu mendakwa sepatutnya ada kaedah yang membolehkan subsidi minyak dikekalkan demi kesejahteraan rakyat tanpa perlu melakukan mekanisme harga minyak mingguan. 

“Apabila Mukhriz menuduh kerajaan tidak mengamalkan perbelanjaan berhemah, beliau kelihatan seolah-olah tidak mempunyai tanggungjawab politik. Perlu diingat, negara ini paling banyak berhutang pada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun. 

“Di zaman itu, hutang negara setinggi 103 peratus daripada pendapatan kasar berbanding cuma 50 peratus pada masa ini. Maka jelas, kerajaan hari ini mengamalkan tanggungjawab politik lebih tinggi apabila berusaha menurunkan defisit selain sentiasa mengkaji keperluan subsidi tertentu,” katanya.

Sementara itu, Pemuda UMNO Kedah kesal kerana Mukhriz masih menggunakan isu 1MDB untuk kembali menghasut rakyat sedangkan perkara itu sudah disiasat dan diperjelaskan berulangkali termasuk di dalam Parlimen. - Kedahnews.com.