Mukhriz Perlu Fikir Panjang Sebelum Tanding Di Bakar Bata


ALOR SETAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) perlu berusaha menyelesaikan masalah parti itu terlebih dahulu untuk meyakinkan penyokongnya dan rakyat Kedah sebelum berhasrat  meletakkan calonnya di negeri ini.

Selagi pengurusan PPBM di peringkat cawangan, bahagian, negeri serta pusat 'masih berterabur' mana mungkin parti itu akan mendapat kepercayaan  rakyat bagi mentadbir negeri mahupun negara.

Ramai yang percaya parti yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya Datuk Seri Mukhriz masih 'longlai'. Kelemahan itu diakui sendiri oleh Dr. Mahahir dan Mukhriz selaku pengerusi dan timbalan presiden PPBM baru-baru ini hingga menghalang parti itu melaksanakan mesyuarat agung (AGM) selepas setahun lebih didaftarkan.

"PPBM memerlukan tunjuk ajar dan nasihat Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung isu sekitar mengadakan mesyuarat agung tahunan memandangkan parti itu masih baru, demikian kata Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun dalam ceramah-ceramah politik di seluruh negara, pemimpin parti itu gah menghebahkan PPBM mendapat sokongan kuat dalam masa yang singkat dan bersedia untuk ambil alih negara dengan sokongan Pakatan Harapan.

PPBM juga tidak pernah mengisytiharkan secara rasmi bilangan ahlinya semenjak ditubuhkan dan mungkin ketiadaan ahli yang cukup antara sebab cawangan dan bahagian tidak hidup dan tidak mampu mengadakan mesyuarat agung.

Tetapi sepanjang  setahun ditubuhkan,  ramai pemimpin kanan termasuk pengasas dan penyokong PPBM telah meninggalkan parti 'tanpa hala tuju' sebenar itu.

PPBM disasaskan untuk menumbangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak cuba mengeret ahli UMNO yang kecewa dan setia kepada Dr. Mahathir.

Bagi parti itu, struktur parti di peringkat akar umbi tidak penting, yang perlu bagi PPBM ialah  rakyat memilih parti mereka bila tiba pilihan raya. Namun PPBM tidak boleh bersendirian dan terpaksa menumpang kekuatan DAP dan PKR.

Oleh itu, tidak hairanlah bagi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah unntuk menyebut  UMNO tidak terkesan jika Mukhriz atau Mahathir mahu bertanding di negeri itu.

Mukhriz yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Kedah dalam sebuah akhbar baru-baru ini menyatakan bakal bertanding di Kedah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14.

Mengulas perkara yang sama, Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Pengerusi Barisan Nasional Kedah berkata Mukhriz mempunyai hak untuk bertanding di mana sahaja biarpun di kubu kuat UMNO.

Beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang halangan kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi.

"Kalau beliau mahu bertanding di DUN Bakar Bata yang kini disandang oleh saya sendiri, saya tidak kisah, kita tiada hak menghalangnya. Silakan" kata Ahmad yang menjadi ADUN di kawasan itu sejak lima penggal.

"Sekiranya beliau (Mukhriz) masih terus mahu bertanding di DUN Ayer Hitam dan daerah lain seperti Langkawi ataupun Parlimen Kubang Pasu, itu juga adalah haknya," kata Ahmad Bashah pada satu interbiu dengan UMNO Online baru-baru ini.

Jika benar Mukhriz mempunyai kekuatan politik di Kedah, UMNO Jerlun akan terbubar kerana beliau adalah ketua bahagian ketika menjadi Menteri Besar.

Namun selepas beliau digugurkan jawatan ketua pentadbir  negeri dan kemudiannya dipecat daripada UMNO awal bulan tahun lalu kerana hilang kepercayaan oleh ketua bahagian dan ADUN BN negeri ini  UMNO bahagian itu terus tegak dan tidak ada satu cawangan pun dibubarkan.

Mukhriz perlu berfikir panjang sebelum memutuskan untuk bertanding di DUN Bakar Bata atau mempertahankan kerusi DUN Ayer Hitam atas tiket Pakatan Harapan atau PPBM, itu pun jika partinya masih boleh diselamatkan sebelum PRU14. - Kedahnews.com.