PERTAMA kali mengerjakan ibadah umrah, penyanyi Marsha memaklumkan agak gementar sebelum berangkat ke Tanah Suci awal bulan lalu.
Bagaimanapun Marsha berkata, segala kebimbangan itu hilang setelah dia menjejakkan kaki di Kota Suci Makkah.
"Mulanya takut-takut juga, macam-macam cerita saya dengar mengenai pengalaman mereka yang mengerjakan umrah.
Marsha dan suami mengerjakan ibadah umrah awal bulan lalu.
"Tapi apabila dah sampai sana, semua perasaan itu hilang dan saya rasa sebak kerana diberi peluang menziarahi tempat suci umat Islam itu," katanya kepada mStar Online.
Marsha dan suami, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail mengerjakan ibadah umrah selama dua minggu bermula 1 November lalu.
Dalam pada itu, penyanyi berusia 32 tahun ini turut memberitahu suaminya membantu dalam mempersiapkan diri sebelum terbang ke sana.
"Sebagai mualaf, banyak yang saya kena belajar lagi dan syukur suami ada disisi membimbing dan mengajar saya.
"Lagi pula dia dah banyak kali tunaikan umrah, jadi pengalaman tu dah ada. Apa yang saya tak faham tanya dia sahaja.
"Saya ada ambil kelas agama bersama seorang ustazah, jadi mudahlah untuk saya melakukan ibadah tersebut," katanya.
Marsha rindukan ketenangan dan kedamaian Kota Makkah.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Yang Terbaik ini berkata dia sudah mula rindu dengan keindahan dan ketenangan sepanjang berada di Makkah.
Ujarnya, perasaan itu hanya diperolehi semasa berada di sana dan berharap dapat melawat kota suci itu tahun depan.
"Tak tahu nak cakap macam mana, rasa tenang bila berada di sana. Tak fikir tentang masalah langsung.
"Sampaikan telefon bimbit pun tak sempat nak pegang dan inilah peluang untuk saya dan suami menggunakan peluang tersebut untuk beribadah.
"Insya-Allah, kalau ada rezeki saya mahu lagi ke sana nanti. Doakan ya!," kata Marsha.
Marsha mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan berusia 30 tahun itu pada 31 Disember 2015 di Georgetown, Pulau Pinang.
Sumber: Mstar Online