Musa Hassan Nafi Sebut "9 Dragon", Akan Fail Saman Fitnah


ALOR SETAR - Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan bakal memfailkan tindakan saman terhadap beberapa portal yang tidak bertanggungjawab mengaitkan namanya dengan kumpulan kongsi gelap, 9 Dragon.

Musa menegaskan bahawa beliau langsung tidak pernah menyebut mahupun mengesahkan kewujuduan gerakan itu sebelum ini.

"Saya amat kecewa dengan tindakan beberapa buah portal  berita yang mengaitkan nama saya dengan nama "9 Dragon" baru-baru ini kerana saya tidak pernah menyebut atau mengesahkan kewujudan gerakan itu di mana-mana atau pada bila-bila masa pun sebelum ini.

"Oleh itu, saya akan mengambil tindakan memfailkan saman fitnah ke atas portal-portal terlibat kerana menyebabkan nama saya dan reputasi saya terjejas melalui laporan-laporan berkenaan," tegas Musa yang cukup terkenal dengan ketegasan dan integriti ketika menjawat jawatan KPN sebelum ini.

Justeru itu, Musa dalam kenyataannya juga memberi amaran kepada mana-mana pihak selepas ini supaya berhenti dari menyebarkan tohmahan tersebut atau bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.

"Saya berharap semua portal berita berhenti dari menyebarkan berita berkenaan atau akan berdepan tindakan saman kerana menulis artikel berbaur fitnah," tegas beliau.

Berikut di bawah adalah kenyataan penuh bekas KPN yang diterima Kedahnews.com di sini, petang tadi: - Kedahnews.com

KENYATAAN MEDIA
UNTUK SIARAN SEGERA

Kecewa Laporan Berita Portal Kaitkan Saya Dengan 9 Dragon

Saya amat kecewa dengan tindakan beberapa buah portal  berita yang mengaitkan nama saya dengan nama "9 Dragon" baru-baru ini kerana saya tidak pernah menyebut atau mengesahkan kewujudan gerakan itu di mana-mana atau pada bila-bila masa pun sebelum ini.

Oleh itu, saya akan mengambil tindakan memfailkan saman fitnah ke atas portal-portal terlibat kerana menyebabkan nama saya dan reputasi saya terjejas melalui laporan-laporan berkenaan.

Saya hanya menceritakan bagaimana saya mengatasi masalah jenayah kongsi gelap ketika menyandang jawatan Ketua Polis Johor dengan menghasilkan satu senarai nama yang lengkap dengan nama ketua-ketua kongsi gelap berkenaan.

Saya tidak pernah sekali pun menyebut nama 9 Dragon dalam mana-mana wawancara saya sebelum ini.

Saya ingatkan dengan tegas supaya berhenti daripada mementingkan populariti berita daripada melaporkan fakta kerana ia akan menyebabkan situasi dalam negara menjadi tidak stabil serta ia mungkin mengganggu siasatan pihak polis ke atas kes jenayah tertentu.

Saya tidak menyangka niat saya hendak berkongsi tentang langkah yang saya lakukan untuk banteras kongsi gelap telah disalah tafsir sehingga menyangkakan saya mengesahkan wujudnya 9 Dragon ini.

Saya menafikan dengan tegas bahawa saya pernah menyebut atau mengesahkan bahawa 9 Dragon wujud atau ada di dalam negara ini.

Saya berharap semua portal berita berhenti dari menyebarkan berita berkenaan atau akan berdepan tindakan saman kerana menulis artikel berbaur fitnah.

Pihak polis sentiasa menjalankan siasatan dan tegas dalam membanteras jenayah demi menjaga keselamatan serta kestabilan awam tanpa mengira peringkat umur atau kedudukan dalam politik. Tidak ada sesiapapun yang kebal atau terkecuali daripada penguatkuasaan undang-undang dalam perkara membasmi jenayah.

Tan Sri Musa Hassan
Bekas Ketua Polis Negara
2 November 2017