Nabil! Hati-Hati Bergurau Pesan Hazami


PENYANYI Hazami memberitahu dia mengingatkan pengacara Gegar Vaganza musim keempat iaitu Nabil Ahmad agar lebih berhati-hati dengan gurauan yang boleh menimbulkan sebarang kontroversi sekali lagi.

Hazami atau Norkamal Hazami Ahmad, 42, berkata, dia sudah bercakap secara peribadi kepada pelawak berkenaan agar lebih membataskan gurauan yang boleh menguris perasaan peminatnya.

"Lawak yang dilakukan itu tidak apa-apa pada saya tapi peminat saya tidak boleh terima dan menganggap ia sebagai keterlaluan.

"Jadi jalan terbaiknya saya berbincang dan cakap sendiri dekat Nabil sebagai jalan tengah. Saya tahu dia perlu menghidupkan suasana ceria. Dalam masa sama saya juga perlu menjaga hati peminat-peminat yang mengambil berat hal itu," ujarnya kepada mStar Online.

Hazami mengulas tentang kontroversi minggu lalu apabila Nabil dianggap melakukan gangguan seksual apabila memegang leher penyanyi Sonata Musim Salju itu.


Bagaimanapun, Hazami berkata, dia tidak terasa hati dengan pelawak berkenaan.

"Saya kenal dia sudah lama dan macam adik beradik, saya tahu dia bergurau macam mana. Cuma ketika atas pentas muka saya nampak serius supaya dia faham dan tidak keterlaluan.

"Dia pun beritahu saya supaya saya hentam dia balik ketika di pentas," katanya.

Sementara itu, ditanya tentang perkembangan program itu, Hazami berkata dia terganggu dengan alat pendengaran yang tidak berfungsi ketika menyampaikan lagu Setenggah Mati Merindu.

"Saya ada masalah ketika menyanyi di pentas di mana saya tidak dengar apa bunyi jadi saya terpaksa berlakon dan berserah.

"Saya hanya fikir ingin nyanyi sehabis baik sahaja malam itu," ujarnya.

Sumber: Mstar Online