ALOR SETAR - Barisan Nasional (BN) Kedah perlu mengekalkan kemenangan di 10 kawasan parlimen yang dimenangi pada pilihan raya lalu dan berusaha menawan beberapa kerusi parlimen lain dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Dalam hal ini pimpinan UMNO dan BN diminta agar tidak berpecah dan sentiasa meletakkan parti di hadapan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.
Sementara itu jentera parti diminta meningkatkan tahap perpaduan, kesiapsiagaan, kebersamaan dan semangat kerja berpasukan untuk melakar strategi yang betul.
Ini antara perkara penting yang ditegaskan oleh Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak dalam pertemuan tertutup bersama beliau pimpinan parti negeri yang berlangsung selama sejam di sebuah hotel di sini malam tadi.
Anggota Parlimen Jerlun yang juga Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz berkata Perdana Menteri mahu Kedah menang sekurang-kurangnya dua pertiga kerusi DUN pada PRU14 ini.
Belaiu mahu semua pihak dari peringkat perhubungan bahagian dan sayap untuk menggerakkan jentera parti secara tersusun dan bekerja di luar kotak, kata Othman yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Jerlun kepada pemberita selepas perjumpaan itu.
Menurut Othman lagi, Perdana Menteri melihat Kedah berpotensi untuk menambah mungkin dua atau tiga kerusi parlimen, selain peluang yang cerah untuk menang beberapa lagi kerusi Dewan Undangan Negeri.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO negeri, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata perdana menteri turut meminta anggota dan kepimpinan parti bersatu padu dan tidak melakukan kesilapan pada masa yang genting menjelang PRU ini.
"Kami yakin Kedah mampu menang, tetapi ada prasyarat yang semua ahli BN dan parti komponen lain perlu bersatu hati dan mengelak daripada berlakunya sebarang konflik dalaman," katanya.
Beliau berkata Najib juga memberitahu calon yang dimahukan untuk bertanding mestilah popular kalangan rakyat bagi membolehkan kepercayaan diperoleh.
"Calon-calon yang dimahukan mestilah popular dalam kalangan rakyat. Kalau popular di peringkat persekutuan tetapi tidak dengan rakyat negeri pun tidak boleh," katanya.
Dalam parti itu, ramai pemimpin UMNO melihat perjumpaan dan 'amanat' Presiden UMNO itu membuktikan PRU semakin dekat dan mereka dikehendaki bersiap sedia sepanjang masa. - Kedahnews.com
