Negara Perlukan Penjawat Awam Berfikir Luar Kotak


MELAKA – Negara memerlukan pegawai dan kakitangan awam yang mampu berfikir di luar kotak dalam berdepan dengan kehendak pelbagai lapisan masyarakat yang kini semakin mencabar, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun.

Beliau berkata penjawat awam dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan seharusnya mengambil inisiatif berfikir di luar kotak itu bagi memastikan hasil serta kualiti kerja terbaik untuk memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat kepada mereka.

“Matlamatnya adalah supaya pelanggan berasa seronok apabila berurusan dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan sekali gus menyanjung tinggi sikap keprihatinan, responsif dan profesionalisme yang kita amalkan,” katanya dalam ucapan merasmikan Persidangan Antarabangsa Kelestarian Insan 2017 di Ayer Keroh di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Azman Mohd Yusof dan turut hadir Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Mukhyuddin Ibrahim.

Persidangan anjuran Institut Sosial Malaysia, Universiti Teknologi Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia itu bertemakan Inovasi Sosial Berdasarkan Maqasid Syariah Untuk Kelestarian Insan.

Pada majlis sama, turut berlangsung pelancaran Buku Inovasi Sosial yang merupakan himpunan artikel yang ditulis oleh ahli akademik daripada UTHM, pegawai INSAN dan rakan akademik daripada institusi pengajian tinggi awam yang lain.

Bercakap kepada pemberita, Azman berkata objektif persidangan kali keempat itu adalah untuk membincangkan isu, cabaran dan masa depan mengenai kelestarian insan dalam pelbagai disiplin sains sosial dan kemanusiaan.

“Persidangan yang berlangsung selama dua hari itu juga memberi peluang kepada golongan ahli akademik membina jaringan kenalan dan kapasiti mereka serta sumbangan berharga yang perlu dilaksanakan.

“Menerusi gabungan semua peserta, secara tidak langsung mereka dapat berkongsi idea dan bertukar-tukar maklumat serta kepakaran dalam bidang masing-masing mengenai Inovasi Sosial dan Maqasid Syariah ,” katanya. – Bernama