KUALA LUMPUR - Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar menyifatkan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria sebagai calon terbaik menggantikan tempatnya.
"Saya pasti beliau (Norza) akan menjadi presiden terbaik tetapi saya tiada kuasa untuk melantik sesiapa.
"Kita perlu membiarkan proses demokrasi itu berlangsung," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis eksekutif MOM di Wisma MOM, di sini semalam.
Tunku Imran berkata, beliau menghormati proses demokrasi yang diamalkan dalam sukan dan pemilihan perlu dijalankan pada mesyuarat agung tahunan badan induk itu yang dijadualkan 30 Jun 2018.
Tunku Imran yang sudah memegang jawatan presiden MOM hampir 20 tahun mengakui Norza memainkan peranan cemerlang sebagai timbalannya serta memiliki pengalaman luas di dalam pengurusan sukan dan mempunyai kepimpinan yang bagus.
Selain menjadi presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tunku Imran berkata, kepimpinan Norza juga menyerlah di peringkat antarabangsa apabila beliau mula dikenali di peringkat antarabangsa.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi bayangan mengenai keyakinannya terhadap Norza menerajui MOM pada penggal akan datang.
Tunku Imran sebelum ini menegaskan beliau akan mengotakan janjinya ketika pemilihan penggal lalu untuk tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan tahun depan kerana mahu memberi laluan kepada pemimpin yang lebih muda menerajui MOM.
Norza ketika ditemui berkata, beliau menghargai pandangan menteri dan Tunku Imran dengan menyedari tanggungjawab yang sangat besar sebagai presiden MOM.
Sumber: BH Online