Norza Tak Mahu Peminat Pengaruhi Pemilihan Pemain


KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria tidak mahu pemilihan pemain skuad Piala Thomas dibuat berdasarkan harapan peminat dan pandangan sesetengah pihak.

Norza berkata, sudah pasti nama pemain perseorangan di luar BAM seperti Zulfadli Zulkiffli mula menjadi sebutan peminat menjelang saingan trofi berprestij itu, Mei depan.

"Kita tak mahu apabila kita mengambil pemain (luar BAM), kita tak mahu hanya dibuat berdasarkan harapan peminat.

"Ini kerana persediaan Piala Thomas kali ini sangat kritikal berdasarkan kedudukan kita sekarang dengan negara lain yang memberi cabaran," katanya selepas mesyuarat majlis eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Wisma MOM, di sini semalam.

Norza berkata, BAM tidak akan menggunakan khidmat pemain di luar BAM dengan mudah kecuali menepati syarat yang diletakkan badan induk itu.

"Apa yang lebih penting kita mahu mereka (pemain luar BAM) perlu memenuhi syarat kerana kita tidak mahu terjadi, sebagai contoh mereka tidak cergas. Ini kerana mereka tidak ada persediaan terperinci seperti mana yang pemain BAM lakukan," katanya.

Menurut Norza, cabaran negara pada Piala Thomas di Bangkok, Thailand nanti bukanlah hanya datang dari negara tradisi seperti China mahu pun Indonesia tetapi lebih banyak negara lain seperti Taiwan, Thailand, Hong Kong dan India.

"Kini kita perlu melihat lebih banyak cabaran seperti Taiwan, Hong Kong mahu pun India dan situasi ini menakutkan kita," katanya yang juga timbalan presiden MOM.

Sumber: BH Online