Orang Asli Jumpa Mayat Hampir Reput Di Pos Hendrop


GUA MUSANG – Mayat berulat dan hampir reput ditemukan dalam semak di tepi jalan masuk ke sebuah kebun sayur dekat Pos Hendrop di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Mohd Taufik Maidin berkata mayat yang belum diketahui identitinya itu ditemui oleh penduduk Orang Asli kira-kira pukul 11.15 pagi.

“Beberapa Orang Asli yang kebetulan melalui kawasan tersebut menghidu bau busuk sebelum mencari dari mana datangnya bau berkenaan dan menemui mayat tersebut yang hampir reput dalam kawasan semak.

“Mereka kemudiannya membuat laporan polis di Pondok Polis Lojing di sini sebelum polis bergegas ke lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Taufik berkata mayat berkenaan juga belum dapat dikenal pasti sama ada jasad lelaki atau wanita kerana keadaan mayat yang hampir reput dan berulat.

Mayat berkenaan dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat. – Bernama