POLITIK adalah perjuangan ideologi pemikiran, bukan perjuangan memecah belahkan rakyat, kata bekas Ketua Serikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin.
Katanya, rakyat Malaysia semuanya bersaudara dan kasih sayang diterapkan dalam diri menerusi agama Islam adalah nikmat iman paling indah.
“Untuk apa kita berbeza fahaman politik hingga memaki hamun dan saling benci membenci?
“Jika pemimpin menunjukkan nilai hati budi, kenapa pengikut perlu memaki hamun sesama sendiri,” katanya melalui status yang dimuatnaik dalam akaun Facebook beliau hari ini.
Beliau turut memuatnaik gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjalani pembedahan bahu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam.
Menurut Anina, rakyat Malaysia harus menilai dan merenung bersama apa yang dilakukan pemimpin atasan sesebuah parti.
Kata beliau, orang kafir di negara barat pun tidak memaki hamun sesama sendiri, maka umat Islam di negara ini perlu istiqamah dalam mempertahankan maruah umat.
“Hentikan maki hamun, berjuanglah dengan penuh hemat dalam mempertahankan ideologi masing-masing.
“Bukan maki memaki, mengaibkan serta memfitnah semberono seumpama Allah menghalalkan perpecahan ummah. Bukankah Islam itu agama yang menyatukan hati manusia dalam kasih sayang,” ujarnya. -
Sumber : MalaysiaGazzete