Orang Kedah Meriah Sambut PM Di Seberang Kota, Kuala Kedah


ALOR SETAR – Suasana di Kampung Seberang Kota di Kuala Kedah, kira-kira 12km dari sini, bagai berpesta hari ini apabila mereka dikunjungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang melakukan lawatan sehari ke Kedah.

Pemimpin nombor satu negara itu diberi sambutan hangat sejurus tiba kira-kira pukul 9.30 pagi ini dengan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Selain bersarapan pagi bersama-sama penduduk kampung, Najib turut menggunakan peluang untuk berbincang tentang perkembangan yang berlaku di kawasan berkenaan.


Najib kemudian melawat pasar nelayan di kampung berkenaan yang merupakan sebuah daripada destinasi pendaratan dan peruncitan hasil laut yang terkenal di negeri ini.

Aturcara lawatan perdana menteri ke Kedah hari ini melibatkan perjumpaan tertutup bersama kepimpinan negeri di Wisma Darul Aman dan majlis perjumpaan bersama penjawat awam di Stadium Sultan Abdul Halim di Suka Menanti.
​​​​​​​
Beliau juga akan menerima kunjungan hormat Menteri Tenaga dan Sumber Galian Arab Saudi, Khalid Abdul Aziz Al-Faleh di sebuah hotel terkemuka di sini selain melawat Loji Air Syarikat Air Darul Aman (SADA) di Pokok Sena.

Program padat perdana menteri turut melibatkan lawatan ke rumah Mansor Salleh, seorang penduduk di Kampung Belukar, Mukim Jabi sebelum menghadiri program bersama rakyat bersempena penyampaian bantuan musim tengkujuh kepada pekebun kecil di Dataran KEDA.

Malam ini Najib akan mengadakan perjumpaan bersama anggota-anggota Barisan Nasional negeri sebelum berlepas balik ke Kuala Lumpur. – BERNAMA