ALOR SETAR - Tindakan lapan orang pelajar berusia 14 hingga 15 tahun menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya ketika umat Islam sedang mengerjakan solat Jumaat mengundang padah apabila mereka ditahan polis dalam Ops Mat Rempit Samseng Jalanan di Kilometer 19, Susur keluar Arau, Lebuh raya Kuala Perlis - Changlun pada Jumaat.
Pelajar-pelajar terbabit antara 10 yang ditahan selepas polis memeriksa 50 motosikal dalam operasi yang bermula 12 tengah hari sehingga 3 petang di mana penunggang motosikal tersebut turut diarahkan menolak motosikal mereka sejauh 1.7 kilometer ke Balai Polis Arau untuk pemeriksaan.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Deputi Superintendan Rusli Yahaya, penahanan lapan pelajar terbabit bersama dua lagi berusia 19 dan 20 tahun susulan operasi dijalankan itu.
"Dalam operasi semalam kita berjaya menahan 50 motosikal dan meminta mereka menolak motosikal sejauh 1.7 kilometer sehingga ke Balai Polis Arau untuk membuat pemeriksaan.
"Daripada 50 orang penunggang motosikal yang diperiksa didapati lapan daripadanya tidak mempunyai sebarang lesen memandu malah turut ponteng solat Jumaat semata-mata untuk berlumba di lebuh raya berkenaan," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambah Rusli, ketika disoal siasat, mereka mengaku sengaja memilih waktu solat Jumaat untuk berlumba memandangkan ketika itu lebuh raya agak sunyi dari kenderaan.
"Lapan remaja terbabit ditahan bersama dua lagi atas kesalahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang dengan melulu dan membahayakan orang lain.
"Mereka direman empat hari bermula semalam sehingga 14 November bagi membantu siasatan dan ujian air kencing terhadap 10 orang terbabit didapati negatif," katanya yang dipetik MyMetro.
Selain itu, sebanyak 81 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang membabitkan kesemua motosikal yang diperiksa dalam operasi yang sama.
"Operasi itu bertujuan membendung gejala tidak sihat ini terutamanya dalam kelangan pelajar sekolah memandangkan mereka akan bercuti tidak lama lagi.
"Pihak polis menasihatkan kepada ibu bapa sentiasa memantau dan mengawal penggunaan motosikal oleh anak mereka yang di bawah umur kerana ini boleh membahayakan diri anak mereka serta pengguna jalan raya lain," ujarnya. - Kedahnews.com