PARIS - Majoriti pakar kajian gunung berapi berpendapat Gunung Agung di Bali, Indonesia akan meletus selepas negara itu meningkatkan amaran ke tahap tertinggi selain memindahkan kira-kira 100,000 penduduk.
"Kita sekarang menyaksikan letupan kecil, pengeluaran gas panas dan serpihan batuan lebur atau abu," kata pakar gunung berapi di Universiti Oxford di Britain, David Pyle.
"Gunung Agung mula menunjukkan letusan abu berterusan, sejak Sabtu dengan asap mencapai ketinggian 3,000 ke udara," kata pakar geologi Universiti Adelaide di Australia, Mark Tingay.
"Letusan kini beralih ke tahap seterusnya yang lebih serius kerana lahar boleh memerangkap gas dalam tekanan dan mungkin membawa kepada letupan," katanya.
Beberapa saintis mengesahkan petunjuk yang ada pada gunung itu menyamai letusan gunung berapi pada 1963 yang mengakibatkan 1,600 orang maut dan mengeluarkan abu kira-kira sejuta metrik tan sehingga menyebabkan purata suhu global jatuh di antara 0.2 ke 0.3 darjah celsius selama setahun.
"Berdasarkan perhatian pada 1963, aktiviti Gunung Agung kini sama permulaan letupan itu. Kemungkinan letupan besar berlaku adalah tinggi, namun ia mungkin memakan masa beberapa hari atau minggu," kata Pyle. - AFP