Pakatan Harapan Tak Serius Tolak Bajet 2018 Atau Bersandiwara Menipu Rakyat?



PAS dipersalahkan oleh Pakatan Harapan sebagai punca kekalahan dalam undi belah bahagian bagi meluluskan Bajet 2018 peringkat jawatankuasa untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS Syed Ahmad Fadhli berkata, Pakatan Harapan (PH) kalah satu undi kerana terdapat lebih 20 orang Ahli Parlimen PH tidak hadir semasa pengundian berlangsung termasuk enam 'pemimpin besar' pakatan.

Pada undian itu BN memperolehi 52 sementara pihak pembangkang 51 undi dan dua berkecuali.
"Hakikatnya, PH telah gagal dalam pengundian itu, " ujarnya seperti yang dipetik dalam Harakahdaily semalam.

Syed Ahmad Fadzli menempelak Pakatan Harapan kerana tidak segan silu meminta undi PAS untuk undian belah bahagi ketika Bajet KPDNKK sahaja.

"Pemimpin PH saban hari mengecam, memperli dan memfitnah PAS. Tetapi, anehnya ketika pengundian semalam tanpa segan silu pula mereka merayu kepada PAS untuk mengundi bagi menjayakan misi mereka.

Hipokrit bukan?

PAS mereka tak mahu, tetapi undi Ahli Parlimen PAS mereka mahu. Oh, mungkin mereka baru tersedar, " katanya penuh sindiran. 

Beliau menyatakan demikian bagi menjawab dakwaan yang dibuat oleh pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) yang diisiarkan dalam Malaysiakini semalam dengan mendakwa ahli PAS menyokong Bajet 2018.

Katanya Pakatan Harapan kalah dengan majoriti satu undi sahaja tetapi dengan mudahnya menjadikan PAS sebagai kambing hitam untuk dipersalahkan.

"Bukankah ketidakhadiran mereka (Ahli Parlimen PH) adalah punca utama kegagalan PH dalam 'operasi serang hendap' pengundian semalam?

Kepada pemimpin dan penyokong PH, berhentilah membuat fitnah dan mengkambing hitamkan PAS demi menutup kegagalan strategi mereka sendiri, " ujarnya Syed Ahmad.

Beliau berkata PAS berpandangan terdapat juga unsur yang bermanfaat dalam Bajet 2018 untuk rakyat seperti subsidi dan ada juga elemen negatif seperti GST yang 'menyusahkan' rakyat.

"Maka, PAS memilih untuk berkecuali iaitu tidak menyokong sepenuhnya dan menolak sepenuhnya bajet tersebut," katanya lagi.

Beliau juga mendedahkan pemimpin PH yang tidak hadir pada masa pengundian itu ialah Ketua Pembangkang, Datuk' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Permatang Pauh),  Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang (Gelang Patah), Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh), Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali (Gombak), Pengerusi DAP, Tan Kok Wai (Cheras) dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai)

"Adakah mereka ponteng dewan? Adakah mereka berkecuali? tanya Syed Ahmad lagi.

Beliau juga mempersoalkan sama ada pemimpin Pakatan Harapan itu benar-benar serius untuk menolak Bajet 2018 atau sebenarnya mereka hanya bersandiwara untuk menipu rakyat. - Kedahnews.com