PAN Yakin Mampu Rampas 13 Kerusi PAS Di Selangor


ALOR SETAR - Parti Amanah Negara (PAN) menyatakan keyakinan bakal merampas13 kerusi DUN Selangor yang dimenangi PAS pada pilihan raya umum yang lalu.

Naib Presiden PAN,  Datuk Husam Musa berkata, kerusi yang dimenangi PAS itu adalah hasil sokongan pengundi dari pelbagai kaum, terutama masyarakat Cina dan India.

“PAS menang di Selangor atas sokongan pengundi bukan Melayu. Bila PAS khianati dan kembali kepompong ke-Melayu-an dan Islamnya, jadi tugas PAN untuk mengisi ruang kosong yang ditinggalkan PAS.

“Kalau 3 penjuru di 15 DUN itu berlaku, insyaallah 13 daripadanya dimenangi PAN. PAS akan dapat undi tercorot. Contohnya boleh dilihat di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar,” katanya.

Tambah Husam, PAN akan memperluaskan kuasa bukan sahaja di Selangor malah di seluruh negeri di pantai timur Malaysia Barat.

Lantas parti cebisan PAS itu dikatakan bakal menjadi masa depan kepada negara dan PAS pula sukar untuk betulkan kesilapan mereka.

“Amanah akan jadi parti masa depan dan lebih baik daripada PAS,” katanya.

Pada PRU 2013 lalu, pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat berjaya mengekalkan kerajaan negeri apabila menang 44 daripada 56 kerusi di DUN Selangor.

DAP dan PAS masing-masing menang 15 kerusi, manakala PKR berjaya mendapat 14. BN kekal sebagai pembangkang dengan memperolehi 12 kerusi. - Kedahnews.com