Parit Tidak Berfungsi, Punca Banjir Di Pendang


ALOR SETAR - Sistem pemparitan yang tersumbat dipercayai menjadi punca kepada berlakunya banjir di Kampung Pondok Haji Hussain yang menempatkan kira-kira 60 buah keluarga.

Mereka terpaksa berhadapan masalah banjir sekiranya berlaku hujan lebat ekoran sistem perparitan di kawasan rumah mereka tidak berfungsi dengan baik.

Penduduk, Kamarudin Ahmad, 55, berkata, sekiranya hujan lebat melebihi dua jam, air akan memenuhi longkang dan keadaan longkang yang sempit dan tersumbat menghalang air daripada melalui parit itu.

"Masalah ini berlarutan sejak setahun lalu dan sehingga kini masih belum diambil tindakan," katanya.

Menurutnya, bukan sahaj rumah mereka yang sering dimasuki air, malah terdapat juga longkang yang telah pecah kerana sering dimasuki air.

Mengakui masalah yang sama, Abdul Rahman Abdullah, 73, berkata, disebabkan longkang tersumbat dan air tidak boleh mengalir rumahnya kerap dilanda banjir.

"Saya ni dah tua, ada pula cucu Oku (Orang kurang upaya) di rumah saya, jadi bila banjir saya kena hubungi APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) untuk mai ambil cucu saya untuk dibawa ke pusat pemindahan," katanya.

Tambahnya, nasib malang berganda menimpa mereka kerana bukan sahaja  air memasuki rumah, bahkan longkang berkenaan turut mendatangkan bau yang kurang menyenangkan.

"Air longkang tersebut sangat busuk dan menggangu kehidupan kami di sini," katanya.

Abdul Rahman berkata, boleh dikatakan setiap bulan kawasan kampung mereka akan berlaku banjir kilat.

"Kami tak tahan dengan keadaan ini. Kalau sekadar kena pindah tak apa tetapi keadaan ini telah menyebabkan harta benda kami seperti almari habis rosak," katanya.- Kedahnews.com