PAS Kedah Tak Bersyukur MB Beri Air Percuma


ALOR SETAR - PAS Kedah menyifatkan Bajet Kedah 2018 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai satu usaha menarik sokongan politik rakyat menjelang PRU14.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhrudin Sheikh Fakhrurazi berkata, walaupun kenyataannya PAS menyokong perkara-perkara yang membawa kebaikan kepada rakyat, tapi pada masa yang sama 'kebaikan pada rakyat' itu dianggap merugikan mereka.

“Pemberian air percuma 20 meter padu kepada rakyat adalah usaha yang baik, namun adakah pemberian itu dapat menyelesaikan masalah bekalan air yang dialami rakyat? Tidak dinyatakan usaha yang akan dibuat oleh kerajaan bagi mengurangkan Air Tidak Berhasil (NRW) mencecah 46.7 peratus daripada sumber air bersih?,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyifatkan bahawa usaha untuk menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air dengan memberi air percuma sebagai cubaan menutup kesalahan.

“Perinciannya tidak dinyatakan secara jelas. Pemberian air percuma itu seolah mahu menutup pelbagai kelemahan dalam pengurusan air ," katanya.

Ahmad Fakhrudin berkata, rakyat pastinya tertanya-tanya apakah rasional projek bekalan air luar bandar menerusi peruntukan pinjaman yang menelan belanja hampir RM 1 billion bagi menaik taraf lima logi rawatan air, sedangkan Kerajaan Persekutuan boleh memperuntukkan sejumlah geran kepada Kedah bagi menaik taraf prasarana itu.

“Jawapan diberikan Ahmad Bashah pada sesi penggulungan masih tidak meyakinkan, termasuk kontrak dua syarikat konsesi air yang akan tamat tempoh 2020,” katanya.

Mungkinkah PAS Kedah masih 'tidur' dan tidak celik melihat BN Kedah kini dalam usaha untuk menambahbaikkan prasarana bekalan air, sebaliknya mereka hanya tahu menghentam dan tidak bersyukur dengan kemudahan air percuma yang diberikan.

Selain itu, Ahmad Fakhruddin turut tidak senang apabila kerajaan Kedah mahu berjimat dalam berbelanja  apabila menganggarkan RM 75.72 juta defisit pada 2018.

“Sebaiknya, kerajaan berusaha minimumkan jangkaan kadar hutang negeri kepada kerajaan Persekutuan dengan pelan strategik menerusi peningkatan hasil negeri serta berhemah berbelanja dalam menghadapi ketidakstabilan ekonomi global,” katanya.

Ahmad Fakhrudin turut beranggapan ianya adalah bajet pilihanraya dan rakyat hanya tunggu sambil menadah tangan untuk menerima apa hadiah yang bakal diberikan.

“Bajet Kedah 2018 tidak ubah umpama bajet pilihan raya, rakyat masih tertunggu-tunggu apa lagi ‘hadiah’ yang akan diberikan. Jika kerajaan beri, rakyat ambil, tetapi undi belum pasti kepada BN,” katanya. - Kedahnews.com