Pasangan Pengantin Perlu Jaga Adab Ketika Di Masjid


SEREMBAN - Pasangan pengantin yang mengadakan majlis pernikahan di masjid, perlu menjaga adab dan larangan yang ditetapkan oleh institusi itu supaya kesuciannya terpelihara.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, berkata adab yang maksudkan termasuk etika pemakaian iaitu berpakaian sopan dan menutup aurat, tingkah laku serta melarang wanita yang tidak suci berada dalam masjid.

Katanya, ketika ini perkara tidak menjaga adab masih berlaku, terutama ketika majlis pernikahan apabila ramai orang berkumpul.

"Niat mengadakan akad nikah di masjid itu baik dan tidak di larang, tetapi adab dan pantang larang ketika berada di dalam masjid perlu dijaga kerana masjid mempunyai kemuliaan.

"Jika adab itu dapat dijaga, ia dapat mengelak daripada berlakunya sesuatu tidak diingini seperti salah faham yang akan mewujudkan pertelingkahan antara pihak keluarga dengan pegawai masjid," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Yusof mengingatkan pentadbir masjid supaya memastikan setiap penceramah dari luar yang ingin menyampaikan ceramah di masjid mempunyai tauliah daripada Jabatan Mufti negeri.

Katanya, pentadbir masjid perlu membuat permohonan kepada jabatan itu terlebih dahulu dan tidak terus memanggil penceramah terbabit walaupun individu berkenaan dikenali ramai.

"Tujuan kita kita berbuat demikian adalah untuk memantau supaya tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan memecahbelahkan masyarakat Islam, selain apa yang disampaikan itu mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.

Sumber: BH Online