Pastikan Rakyat Nikmati Manfaat Bajet 2018: PM


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Razak mahu setiap kementerian bersiap sedia untuk memastikan semua perancangan membabitkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2018 mencapai matlamatnya.

Perdana Menteri berkata, ia perlu disampaikan kepada rakyat secara menyeluruh.

"Alhamdulillah, RUU Perbekalan 2018 atau Bajet 2018  diluluskan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama.

"Saya mahu setiap kementerian bersiap sedia pastikan apa yang direncanakan mencapai matlamat dan sampai kepada rakyat semuanya," katanya menerusi akaun Twitter rasminya, awal pagi tadi.

Semalam, RUU Perbekalan 2018 bacaan kali pertama diluluskan selepas melalui undian belah bahagian di Dewan Rakyat.

Penggulungan peringkat dasar bagi pihak kementerian dilakukan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang tenang menjawab soalan bertubi-tubi pemimpin pembangkang selama lebih tiga jam, bermula jam 3 petang semalam.

Seramai 107 Ahli Parlimen menyokong, 59 lagi tidak menyokong, sementara 11 lagi tidak mengundi.

Rang undang-undang itu yang dibentangkan Perdana Menteri pada 27 Oktober lalu, dibahaskan selama enam hari bermula sejak 30 Oktober.

Ia kemudiannya digulung di peringkat kementerian selama tiga hari bermula 8 November, sebelum diluluskan di peringkat dasar.

Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 yang bertujuan memperuntukkan RM280.25 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan dalam Bajet 2018 akan dibahaskan di peringkat jawatankuasa bermula hari ini.

Sumber: BH Online