Pejalan Kaki Maut, Pemandu Proton Preve Larikan Diri


KOTA KINABALU - Seorang pejalan kaki maut dipercayai dirempuh sebuah kenderaan jenis Proton Preve dalam kejadian langgar lari di Jalan Tuaran berhampiran bulatan Bandar Siera di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu, mangsa lelaki tempatan berusia 29 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi. 

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M.Chandra berkata, hasil siasatan awal mendapati semasa insiden berkenaan lelaki terbabit berada dalam keadaan mabuk dan sampel darahnya telah diambil untuk ujian Toksikologi.

"Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian mengalami kecederaan serius pada bahagian badan dan kaki.

"Sehubungan itu, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti punca dan mencari pemandu Proton Preve yang terlibat dalam kemalangan ini," katanya hari ini.

Tambah Chandra, mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 dekat sini untuk rawatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden kemalangan jalan raya tersebut sila hubungi pegawai penyiasat Insp. Chong Chee Wah di talian 016-303 2030 atau membuat laporan di balai polis berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Kosmo