Pelakon, Isteri Ditahan Polis


KUALA LUMPUR - Seorang pelakon bersama isterinya ditahan polis malam tadi untuk membantu siasatan kes mengunci pintu pagar masuk utama Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling di Persiaran Atmosfera, Shah Alam, baru-baru ini.

Yang turut ditahan bersama mereka ialah seorang lagi rakan pelakon berkenaan ketika dia hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, pada jam 11 malam tadi.

Penahanan pelakon itu yang juga pengasas sebuah gerakan bebas berteraskan kemasyarakatan, susulan laporan polis dibuat Pejabat Daerah Petaling berhubung tindakan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata ketiga-tiga individu itu ditahan di IPD Sungai Buloh untuk siasatan mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 kanun sama.

"Mereka disiasat kerana mengurung dan melakukan ugutan jenayah," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Khamis lalu, pelakon terbabit memuat naik rakaman video berdurasi dua minit di akaun Facebook menunjukkan dia di depan Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling.

Rakaman menunjukkan dia meluahkan rasa tidak puas hati kerana pejabat daerah didakwa gagal menyelesaikan masalah penduduk di kawasan berkenaan.

Sumber: BH Online