Pelakon Raf, Mawar Sah Bergelar Suami Isteri


KUALA LUMPUR - Pelakon Mawar Rashid dan pasangannya Raf Yaakob, selamat diijabkabul sebagai suami isteri dalam majlis akad nikah yang diadakan Hotel Royele Chulan di sini sebentar tadi.

Dengan sekali lafaz, Raf atau Raden Ahmad Faizal Yaakob, 31, yang juga adik kepada selebriti popular, Datuk Fazley Yaakob sah bergelar suami kepada Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 22.

Majlis akad nikah itu disempurnakan oleh Imam Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangasar, Ustaz Mohammad Azri Ahmad Kamil sekitar pukul 3.20 petang.

Mawar yang juga bekas peserta Dewi Remaja 2014/2015 menerima wang mas kahwin sebanyak RM900 dan tujuh dulang hantaran serta berbalas sembilan daripada pihak pengantin lelaki.

Majlis tersebut dihadiri sekitar 500 orang tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan terdekat manakala kedua-kedua mempelai menggayakan pakaian pengantin berkonsepkan Jawa rekaan daripada Cosry.

Majlis tersebut menjadi perkahwinan pertama buat Mawar manakala kedua bagi Raf. Menerusi perkahwinan terdahulu, Raf mempunyai dua orang cahaya mata, Raden Ahmad Rayyan, 6, dan Raden Raysaa Chanela, 2.

Pelakon drama rantaian Suamiku Paling Sweet itu mula menjalin hubungan cinta dengan Raf yang juga Presiden Kelab Peminat bola sepak Manchester United Malaysia sekitar Januari tahun ini sebelum melangsungkan majlis pertunangan pada 7 Julai lalu.

Antara rakan selebriti yang hadir memeriahkan majlis perkahwinan mereka, Datin Paduka Eina Azman dan Emma Maembong manakala pelakon Ruhainis dan Raysha Senrose bertindak sebagai pengiring pengantin perempuan.

Majlis resepsi kedua-dua pasangan akan dilakukan di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara pada 1 Disember depan

Sumber: Kosmo