Peluang 'Orang Muda' Teraju MOM


KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria disifatkan mempunyai kredibiliti untuk mengambil alih kerusi presiden yang bakal dilepaskan Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar, pada pemilihan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan sukan itu, Jun 2018.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi bayangan awal keyakinannya terhadap kemampuan dimiliki Norza, apatah lagi Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu mempunyai kelayakan dan pengalaman cukup luas.

"Kalau kita lihat daripada sudut kedudukan, timbalan presidennya saya lihat mempunyai kelayakan dan berpengalaman. Dan, sebagai orang muda, Datuk Seri Norza boleh dipertimbangkan," kata Khairy yang mengakui beliau menghormati keputusan dibuat Tunku Imran, ketika ditemui media selepas majlis Malam Apresiasi KL2017, malam tadi.

"Beliau (Tunku Imran) mengesahkan tidak akan bertanding semula untuk jawatan presiden MOM, kerana sudah mencapai usia 70 tahun... sudah lama juga jadi presiden MOM dan saya hormati keputusan beliau.

"Beliau masih menawarkan khidmat selaku penasihat tidak rasmi, sebagai seorang yang sentiasa memberi nasihat untuk MOM atau sukan Malaysia.

"Ini juga akan membuka ruang dan peluang untuk generasi baharu mengambil alih jawatan tertinggi dalam MOM."

Sebelum ini, Tunku Imran mendedahkan beliau tidak akan bertanding dalam apa juga jawatan pada pemilihan Jun ini, selepas memegang tampuk tertinggi MOM sejak 19 tahun lalu.

Sumber:BH Online