Peluang Trio Masih Terbuka


KUALA LUMPUR - Peluang tiga atlet menembak yang memfailkan saman terhadap Institut Sukan negara (ISN) untuk mewakili negara ke mana-mana temasya masih terbuka.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) Datuk Musa Omar berkata, tiada sesiapa yang boleh menghalang mereka berbuat demikian kecuali Angkatan Tentera Malaysia.

Katanya, Muslifah Zulkifli, Nur Ayuni Abdul Halim dan Nur Suryani Taibi masih boleh beraksi untuk negara jika mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan dan andai berjaya membuktikannya tiada masalah untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan ke temasya Sukan Komanwel mahupun Asia.

"Mereka antara atlet terbaik negara. Tiada yang boleh menghalang mereka untuk terus menembak.

"Sebagai contoh kalau mereka berjaya memecahkan rekod dunia sudah tentu mereka akan disenaraikan. Begitulah sebaliknya," katanya. 

Musa berkata, NSAM tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan menghalang mereka dari terus menembak kerana isu kes itu. 

"Ramai yang sudah menjatuhkan hukuman padahal kes ini baru saja di bawa ke mahkamah dan keputusan belum lagi dijatuhkan. 

"Malah Program Podium sendiri pernah mengeluarkan kenyataan bahawa mana-mana atlet yang digugurkan jika berjaya membuktikan kemampuan mereka pasti akan disenaraikan semula. 

"Bagaimanapun perkara sudah berlalu dan mereka sudah memilih jalannya dan kehidupan perlu diteruskan," katanya. 

Begitupun Musa berkata, beliau ketika ini tidak boleh memberi sebarang komen berhubung kes saman membabitkan tiga atlet berkenaan kerana ia sudah menjadi kes mahkamah. 

Musa menegaskan jika benar tiga atlet itu mahu mewakili negara mereka perlu terus berusaha membuktikannya dengan menyertai kejohanan yang dianjurkan. 

Kes saman membabitkan tiga atlet menembak itu dibawa ke mahkamah dan menunggu tarikh selanjutnya selepas peguam bela Azlan Mashod memaklumkan 30 November ini tarikh pengurusan kes.

Sumber: BH Online