PARA pemain dan penyokong Kedah ternyata kecewa kerana pasukan Lang Merah tidak layak beraksi dalam saingan Piala AFC tahun depan hanya kerana kelewatan menghantar peyata kewangan yag beraudit kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) walaupun telah melayakkan diri secara merit.
Akibatnya pasukan juara Piala FA dan naib juara Piala Malysia ini gagal mendapat lesen daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Bagi pemain sayap Lang Merah, Mohd. Syazwan Zainon, dia sudahpun bersedia untuk membuat penampilan sulung di pentas Asia sebaik sahaja membantu Kedah menjulang Piala FA, Mei lalu.
,Namun beliau terpaksa melupakan hasrat tersebut gara-gara 'kesilapan' teknikal, dan bukan berpunca daripadanya atau rakan-rakan sepasukan.
“Saya tidak nafikan rasa terkilan dan kecewa pasti ada pada setiap pemain kerana kami tidak dapat beraksi dalam Piala AFC. Jika tidak...Saya akan membuat penampilan pertama di pentas Asia.
“Memang menjadi sasaran kami untuk bermain dalam Piala AFC musim depan, malangnya perkara sebaliknya pula berlaku. Apa pun, saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak,” katanya kepada Utusan di sini hari ini.
Biarpun tidak mampu menyembunyikan kecewa, namun pemain berusia 28 tahun itu menegaskan apa yang berlaku tidak sedikit menjejaskan semangatnya untuk terus menjulang Kedah musim depan dan cuba mencari tiket ke Piala AFC pada musim berikutnya.
“Saya bermain bola sepak sebagai punca rezeki dan sudah pasti saya akan bermain dengan baik pada musim depan walaupun tidak dapat beraksi dalam Piala AFC. Saya juga akan berusaha untuk membantu pasukan sekali lagi menempah tiket ke kejohanan itu,” katanya lagi
Sementara itu, beberapa penyokong tegar turut kecewa kerana pasukan kesayangan mereka tidak mendapat lesen untuk bertanding di pentas kelab-kelab terbaik bolasepak Asia.
Mohd Ridzuan Yahya dari Alor Mengkudu di sini bagaimanapun menyatakan dia tidak yakin Kedah ditolak semata-mata kerana gagal menyediakan penyata kewangan.
Sepatutnya badan induk bolasepak negara itu boleh memberi nasihat, garis panduan dan bantuan dalam perkara itu kerana penampilan Kedah di pentas AFC juga membawa imej negara, ujanrnya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun beliau yakin Kedah akan beraksi ke pentas AFC tahun 2019 berdasarkan prestasi cemerlang skuad Lang Merah kebelakangan ini.
Seorang lagi penyokong setia Kedah, Yazid Md Zani menyatakan, mereka menerima keptusan FAM itu namun kemeriahan temasya bolasepak Piala Dunia tahun depan mengurangkan tumpuan kepada perlawanan dalam negeri dan peringkat kelab Asia - Kedahnews.com.