"Pemergian" Amiruddin Naikkan Semangat Juang PAS Kuala Kedah


ALOR SETAR - Tindakan Dato' Amiruddin Hamzah yang mengkhianati perjuangan bersama PAS baru-baru ini tidak memberi kesan rasa "kehilangan" kepada warga PAS Kawasan Kuala Kedah, kata Yang DiPertuanya, Omar Saad.

Menurut beliau, ia adalah disebabkan bahawa perjuangan bersama PAS merupakan sebuah perjuangan yang menyasarkan matlamat kepada keredhaan Allah SWT, dan bukan demi kepentingan diri mahupun individu tertentu.

"Bagi kami di Kuala Kedah secara jujurnya tidak merasa 'kehilangan' di atas tindakan beliau itu.

"Kerana perjuangan Islam ini adalah untuk mencapai matlamat kepada Allah, bukan kepentingan diri atau individu," katanya memetik laporan lidah rasmi PAS, Harakahdaily.

Katanya lagi, PAS Kawasan Kuala Kedah sudah sedia maklum dengan "isyarat" Amiruddin sebelum ini yang menunjukkan sikap berkecuali kepada semua arahan pimpinan atasan PAS, termasuk menolak perlantikan sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah.

Tegas Omar lagi, tindakan keluar parti oleh Amiruddin itu langsung tidak melemahkan semangat juang PAS di kawasan itu, bahkan pengkhianatan itu menaikkan lagi semangat mereka untuk terus berjuang.

Amiruddin sebelum ini mengumumkan diri menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang turut disaksikan oleh Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Dato' Seri Mukhriz Mahathir yang juga merupakan Timbalan Presiden PPBM.

Desas-desus mengatakan Pakatan Harapan Kedah sedang giat "memancing" pemimpin PAS untuk menyertai PPBM, PAN atau PKR, setelah mereka gagal memujuk rayu kepimpinan PAS untuk bekerjasama pada PRU ke-14 nanti.

Selain itu, PPBM turut dikatakan sedang menghadapi kemelut dalaman ekoran ramai kepimpinannya yang keluar parti selain berdepan ancaman diharamkan oleh Jabatan Perdaftar Pertubuhan gara-gara melanggar perlembagaan parti.

Banyak aduan telah dikemukakan ahli dan bekas ahli parti itu kepada RoS sehingga menyebabkan parti tersebut diberi kata dua oleh RoS sebelum ini. - Kedahnews.com