Pendapatan Pemandu Teksi Di Yan Terjejas


ALOR SETAR - Kenaikan harga minyak hampir setiap minggu telah mengakibatkan punca pendapatan sekumpulan pemandu teksi di daerah Yan sedikit terjejas.

Pengerusi Persatuan Teksi daerah Yan, Abu Yaziz Man berkata, kenaikan harga minyak bagaikan membunuh terus jalan mereka untuk mencari rezeki.

"Dahlah sekarang pendapatan kami terjejas sebab kurang penumpang, minyak pula naik bebankan kami," katanya.

Tambahnya, boleh dikatakan kesemua pemandu teksi di daerah tersebut kini hanya tertumpu kepada penumpang dalam kalangan warga emas yang hendak ke hospital sahaja.

"Nak harap penumpang muda, semua dah berkereta.

"Walaupun jarak perjalanan ambil penumpang tak jauh mana, tapi kami tetap perlu isi minyak," katanya.

Mengakui masalah sama, pemandu Uber, Sobri Ahmad Mohamad, 30, berkata, dia juga turus merasa terbeban dengan kenaikan harga minyak tersebut.

"Saya mula cari rezeki sebagai pemandu Uber sejak dua tahun lalu. Dulu isi minyak RM20 boleh pergi sejauh lebih 100 kilometer.

"Sekarang isi RM20 waktu pagi, petang kena isi semula," katanya.

Menurutnya, kerajaan seharusnya lebih prihatin dan mengambil berat terhadap keadaan rakyat yang tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi.

"Rakyat kini terbeban, dahlah barang semua naik harga dengan adanya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), minyak pula naik," katanya. - Kedahnews.com