Penduduk Sifatkan Restoran Makan Percuma Milik Jamal Yunos Sebagai Rahmat


SABAK BERNAM  – Usaha mulia Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos membuka restoran kedua menawarkan makan tengah hari per­­cuma disifatkan penduduk sekitar sebagai rahmat buat mereka.

Mana tidaknya, setiap hari sekurang-kurangnya 500 penduduk terutamanya mereka yang ber­pendapatan rendah hadir­ menikmati pelbagai menu masakan di cawangan kedua restoran terletak di Sekinchan itu.

Malah bukan sahaja penduduk, beberapa pemimpin ma­syarakat juga mengucapkan terima kasih atas inisiatif diambil Jamal yang dianggap tepat pada masanya, kerana dapat membantu meringankan beban harian masyarakat setempat.

Ketua Pemuda MCA Bahagian Sungai Besar, Ng Boon Keong berkata, beliau dan kepemimpinan MCA kawasan berkenaan menyambut baik inisiatif serta pendekatan luar kotak yang diperkenalkan Jamal.


Katanya, pembukaan res­toran yang mesra pengunjung tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan ideologi politik membuktikan keikhlasan Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia itu dalam memberi per­khidmatan kepada rakyat.

“Kita dapati sambutan diberikan rakyat cukup hebat dan ini membuktikan langkah Jamal tepat. Ia juga menunjukkan usa­ha be­liau untuk meringankan beban mereka yang ber­hadapan kos hidup tinggi mencapai objektif.

“Atas kepentingan ter­sebut, saya menyokong langkah Jamal untuk membuka lagi cawangan restoran seumpama ini di tempat lain agar lebih ramai rakyat menerima manfaatnya,” kata Boon Keong kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Menyentuh isu sama, Penge­rusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Cawa­ngan Cempaka Sekinchan, Nor­mah Sulong berkata, usaha Jamal wajar dicontohi khusus­nya dalam memberi per­khidmatan kepada orang ramai.

“Selain dapat mem­ban­tu meringankan be­­ban kos sara hidup masyarakat, program seperti ini dilihat mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara rakyat dan pemimpin,” katanya.

Sementara itu, Pe­ngerusi Ja­wa­tan­ku­asa Ke­majuan dan Ke­sela­matan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Seri Sentosa, No­rasni Jainuri pula berkata, sebagai wakil penduduk, beliau mengalu-alukan usaha murni Jamal tersebut.

“Alhamdullilah dan terima kasih saya ucapkan kepada Jamal atas pembukaan ini, se­kurang-kurangnya penduduk kampung dapat menikmati hidangan me­nu kampung secara percuma yang tentu memberi kelegaan kepada kami,” katanya.

Sumber: Utusan Online