ALOR SETAR - Bermula tahun ini, penilaian murid yang memohon ke sekolah berasrama penuh (SBP) mengambil kira semua empat komponen Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) termasuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan ujian khas yang perlu diduduki mereka kelak.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebanyak 10,000 tempat disediakan di 69 SBP di seluruh negara tahun depan dan kementerian menerima lebih 60,000 permohonan yang dibuka secara dalam talian selama dua minggu sejak 19 November lepas.
Jelasnya, ujian SBP berkenaan yang menjadi keutamaan kepada pelajar yang memohon itu akan dijalankan pada 11 hingga 15 Disember ini di 200 pusat peperiksaan.
“Mulai tahun ini juga penilaian kemasukan ke SBP ini akan mengambil kira kesemua empat komponen PPSR bersama keputusan ujian khas tersebut. Yang layak masuk kita ada kriteria namun ujian yang bakal diduduki ini keputusannya akan jadi penentu.
“Pelajar akan dipanggil untuk menduduki peperiksaan berkenaan di pusat yang disediakan seperti di Kedah 15 pusat, juga dijalankan secara dalam talian selama satu jam setengah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program My New School di Sekolah Kebangsaan Paya Rawa di Pendang pada Khamis dan turut hadir Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Azuyah Hassan.
Mengulas lanjut kata Mahdzir, secara keseluruhan kementerian berpuas hati dengan pencapaian keputusan UPSR yang diumumkan yang menyaksikan peningkatan berbanding tahun depan.
“Kebiasaannya murid akan dapat slip UPSR sahaja tetapi tahun ini murid akan namun kali ini mereka juga akan menerima buku laporan yang meliputi Pentaksiran Psikometrik (PPsi), Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR),
“Penilaian ini dibuat sepanjang enam tahun mereka di sekolah untuk melihat prestasi mereka termasuk dari segi sukan, kurikulum dan sahsiah diri,” katanya.
Berucap pada majlis tersebut, beliau menasihatkan ibu bapa supaya berfikiran terbuka dengan keputusan yang diperoleh anak-anak masing-masing terutama bagi murid yang tidak beroleh keputusan cemerlang.
“Kehidupan anak-anak mereka ini bukan berakhir dalam UPSR kerana perjalanan mereka masih jauh dan mempunyai masih banyak ruang untuk memperbaiki diri,” katanya.