Pengabdi Setan Buat Penonton Kena ‘Rasuk’


BAGI peminat filem genre seram pasti anda tak terlepas untuk menonton filem Pengabdi Setan yang dikatakan telah ‘merasuk’ setiap jiwa yang menonton.

Filem seram Indonesia yang dikeluarkan tahun ini sebenarnya sudah pun ditayangkan di Malaysia bermula pada 23 November lalu.

Jika dilihat menerusi media sosial seperti Facebook, Instagram mahupun Twitter, banyak feedback yang diterima mengenai aura filem tersebut.

Rata-rata netizen berpuas hati dengan adegan seram yang ditunjukkan serta ramai seakan-akan ‘dirasuk’ oleh hantu ibu yang merupakan watak utama di dalam filem tersebut.


Pengabdi Setan merupakan filem remake daripada naskhah asal yang pernah ditayangkan sekitar tahun 1980-an.

Filem ini menceritakan mengenai seorang ibu yang menghidapi penyakit misteri selama tiga tahun. Selepas kematiannya, pelbagai kejadian aneh telah berlaku dan menghantui keluarganya.

Wajah si ibu yang mengerikan itu melambangkan semangat iblis yang ‘tinggal’ di dalam jasad selepas kematiannya.


Pada asalnya, filem itu diarahkan oleh Sisworo Guatmana Putra yang telah mencipta fenomena pada tahun tersebut.

Namun, Joko Anwar mengambil keputusan untuk memberi nafas baharu di dalam karya tersebut dan menyuntik lebih banyak babak seram bagi menambahkan lagi elemen yang sedia ada.

“Pengabdi Setan adalah filem seram kegemaran saya. Apabila selesai menonton di pawagam, saya akan berdoa semoga hari esok tidak akan muncul.

“Namun yang kelakarnya, apabila hari esok muncul, saya akan menonton filem itu lagi. Sebenarnya untuk bikin semula filem ini, saya terpaksa ‘kejar’ penerbit asal filem tersebut selama 10 tahun.

“Dalam perbincangan tentang tujuan mahu buat filem ini, saya jawab, ia filem seram kegemaran saya ketika kecil,” ujar Joko yang ambil masa selama empat bulan untuk cari lokasi utama iaitu rumah usang terletak di Pangalengan, Bandung.

Pelakon hebat, Bront Palare turut terlibat dalam pembikinan filem seram ini dan dia memegang watak sebagai Bapak.

Dalam masa yang sama, Joko memuji lakonan hebat Bront yang merupakan satu-satunya ‘pendatang’ di dalam filem tersebut.

Watak yang dibawakan oleh Bront telah membuatkan penonton Indonesia ‘cair’ melihat ketampanan aktor Malaysia itu.

“Bront adalah kesayangan semua orang dalam penggambaran filem ini. Sebenarnya saya mohon kepadanya untuk cari aktor Malaysia yang melakonkan watak Bapak namun tidak bertemu calon sesuai.


“Apabila itu berlaku, saya cakap kepadanya, dia sahajalah yang berlakon sebagai Bapak dalam filem ini. Mula-mula Bront sangsi juga, namun selepas dipujuk, dia bersetuju,” tambahnya dipetik daripada portal Kapan.Lagi.

Menurut salah seorang pelakon, Tara Basro, dia mendedahkan bahawa terdapat beberapa kejadian seram yang mereka lalui semasa tempoh penggambaran dijalankan.

“Kalau anda benar-benar mengamati babak seram dalam filem ini, ada bahagian yang menunjukkan beberapa babak unsur seram atau hantunya bersifat semula jadi.

“Ada juga kru produksi ‘tersalah mengira’ pelakon tambahan yang terlibat. Misalnya, cuma beberapa orang tetapi apabila dikira semula, ia terlebih seorang,” jelas Tara.

Namun, bagi Ayu Lakshmi yang memegang watak utama sebagai Ibu, dia memberitahu bahawa dirinya bukanlah pengabdi setan, tetapi dia merupakan pengabdi seni.

“Saya seorang pengabdi seni dan memberi penghormatan terhadap sesama alam semesta milik Tuhan yang dimuliakan semua umat.


“Saya juga percaya dunia ini dihuni oleh perkara-perkara yang boleh dan tidak mampu dilihat dengan mata,” katanya.

Jadi anda tunggu apa lagi? Dah banyak feedback positif yang diterima daripada filem seram tahun 2017 ni. Tapi ingat, jangan sampai hantu Ibu ikut balik ya. - Kedahnews.com