ALOR SETAR - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) masih belum memberi kata putus mengenai syarikat yang bakal menganjurkan perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 walaupun masa dilihat semakin suntuk.
Mengikut kalendar Jelajah Asia, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), perlumbaan berstatus hors classe berkenaan dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 10 Mac 2018.
Sungguh pun begitu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan ia bakal diketahui dalam masa terdekat.
"Kami akan memaklumkan dalam masa terdekat penganjurnya. Kami masih mempertimbangkan beberapa tawaran," katanya selepas sesi dialog TN50x: Aspirasi Belia CIMB, semalam.
Sejak dua edisi lalu, LTdL dianjurkan Ciclista Sports Sdn Bhd, namun sehingga kini tiada pengumuman rasmi sama ada syarikat berkenaan masih diberikan kepercayaan menjayakan perlumbaan itu atau sebaliknya.
Pada majlis tersebut turut berlangsung pengumuman penajaan Yayasan CIMB selama tiga tahun kepada Junior Cycling Malaysia (JCM) bermula tahun depan.
"Penajaan ini akan digunakan untuk memperluaskan program latihan serta pendedahan, perluaskan sirkit perlumbaan tempatan dan latihan ke luar negara," kata Khairy yang dipetik dari BH Online. -Kedahnews.com