Penunggang Motosikal Di Sungai Petani Terima Petrol Percuma


SUNGAI PETANI - Seramai 1,000 penunggang motosikal menerima isian petrol secara percuma di stesen minyak PETRONAS, Bandar Puteri Jaya, di sini, pagi tadi.

Program inisiatif Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani itu ditaja Ketua UMNO Bahagian, Datuk Abdul Rahim Saad.

Abdul Rahim berkata, penganjuran program itu adalah kali kedua diadakan di bawah UMNO Bahagian yang bertujuan bagi mendekatkan UMNO dengan masyarakat setempat.

"Kita merancang program pengisian petrol percuma kepada 1,000 motosikal 150 cc ke bawah untuk seluruh Parlimen Sungai Petani yang bermula di Tikam Batu pada awal bulan lalu.

"Tujuan penganjuran program ini adalah bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa kami sentiasa peduli dengan nasib mereka berhadapan dengan situasi harga minyak yang meningkat," katanya ketika ditemui pada program terbabit, di sini.

Hadir sama Ketua Puteri UMNO Bahagian, Mashitoh Mohd Yusof.

Beliau berkata, program itu dijangka diteruskan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Arang pada 24 November ini.

Katanya, walaupun peruntukkan asal adalah sebanyak RM5,000 dan setiap motosikal dihadkan mengisi sebanyak RM5 sahaja, namun setiap motosikal yang datang diberi isian penuh.

Katanya, program yang bermula selama dua jam bermula 7 pagi itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penunggang motosikal.

"Saya berterima kasih kepada penunggang motosikal yang hadir menjayakan program ini dengan ada yang sudah menunggu seawal 6.30 pagi bagi mendapatkan isian petrol percuma dalam penganjuran kali ini," katanya.

Sumber: BH Online