Penyakit Tak Berjangkit Punca 73% Kematian


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan risiko penyakit tidak berjangkit membabitkan generasi muda menyumbang jumlah kematian tertinggi di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, risiko penyakit tidak berjangkit seperti kanser, sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi menyumbang sehingga 73 peratus punca kematian sejak tahun lalu.

Beliau berkata, lebih membimbangkan apabila jumlah peratus kematian berkenaan terdiri daripada golongan muda seawal usia 30-an manakala 27 peratus lagi membabitkan individu kurang 60 tahun.

Katanya, daripada kaji selidik yang dilakukan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendapati 17.5 peratus daripada penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas mempunyai penyakit diabetes.

“Bagi Pulau Pinang, 18 peratus penduduk disahkan mengidap penyakit diabetes selain hampir 30 peratus pula mempunyai penyakit hipertensi.

“Apa yang membimbangkan penduduk luar bandar mencatatkan jumlah tertinggi berbanding penduduk di bandar,” katanya ketika ditemui ketika menghadiri Sambutan Kem Nak Sihat Bersama Komuniti Kekal Sihat 2017 Daerah Barat Daya di Bayan Lepas, semalam.

Hilmi berkata, secara keseluruhan masalah berat badan berlebihan atau obesiti turut mencatatkan peningkatan dengan golongan lelaki lebih ramai berbanding wanita.

Beliau berkata, mencegah adalah lebih baik daripada merawat dan setiap penduduk disarankan menjalani pemeriksaan kesihatan termasuk mengamal gaya hidup lebih sihat.

Katanya, aktiviti fizikal termasuk bersenam seperti mengamalkan berjalan 10,000 langkah sehari antara langkah terbaik untuk mencegah penyakit.

“Saya menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta serta badan bukan kerajaan berganding bahu membantu KKM untuk mengurangkan penyakit kronik,” katanya.

Sumber: MyMetro