Peranan Isteri Penting Bantu Kejayaan Pemimpin - PM


MELAKA - Peranan besar yang dimainkan oleh isteri berupaya memberi impak kepada kejayaan, kesejahteraan dan keberkesanan seseorang pemimpin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peranan penting dimainkan seorang isteri yang menjadi teman sejati dan penghibur hati seseorang pemimpin itu begitu besar maknanya.

"Sekiranya isteri dapat membantu kita menguruskan rumah tangga dengan baik, memahami tugas kita, menenangkan hati dan jiwa kita, saya yakin setiap wakil rakyat Barisan Nasional (BN) akan lebih berjaya.

"Bab ini kita kenalah bagi perhatian supaya suami dapat jalankan tugas dengan begitu baik sekali lebih-lebih lagi dah dekat nak raya (pilihan raya) ni," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam Penutup Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional Semalaysia (PTIWRBNM) di Hotel Equatorial, Banda Hilir, di sini malam tadi.

Yang turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Jelas Najib, beliau percaya dengan sokongan padu serta kerjasama baik daripada pihak isteri, kerajaan BN akan bergerak lebih laju dan lebih gigih.

Katanya, segala ilmu yang diperolehi boleh digunakan untuk menjadi pengantara antara pihak kerajaan dan rakyat.

"Kepada kumpulan-kumpulan yang mungkin jika isteri kita mainkan peranan ia lebih meresap pengaruhnya berbanding jika kita yang melakukannya.

"Misalnya ada persatuan ibu tunggal dan anak yatim atau sewaktu berlaku musibah di kawasan kita, kalau isteri turun bersama atas nama badan kebajikannya melakukan kerja amal dan pendekatan mesra rakyat, saya percaya sumbangan itu cukup besar nilainya kepada kerajaan BN," ujarnya.

Sumber: Utusan Online