Perbezaan Ideologi Pemimpin Pakatan Harapan Timbulkan Kesangsian Rakyat


Perbezaan ideologi dan visi pemimpin tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) adalah faktor yang mewujudkan kesangsian terhadap keupayaan pakatan pembangkang untuk menerajui negara.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff, berkata krisis yang bergelumang dalam kem pembangkang menonjolkan gambaran bahawa kesepaduan empat parti itu sebenarnya goyah sekali gus tidak mampu memacu Malaysia ke tahap lebih baik.

Katanya, ini kerana pemimpin tertinggi PPBM, PKR, DAP dan PAN, khususnya Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng serta Mohamad Sabu, tidak sehaluan dalam banyak perkara.

Beliau berkata, situasi ini bukan sahaja menghantui ahli dan penyokong, malah turut menjejaskan keyakinan pemimpin pakatan pembangkang antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah daripada DAP, Teh Yee Cheu, yang mahu meninggalkan parti itu susulan sangsi terhadap kerjasama dengan Dr Mahathir.

"PPBM, PKR, DAP dan PAN mempunyai ideologi yang jauh berbeza antara satu sama lain. Sebab itu, mereka tidak mampu mengeluarkan satu dasar bersama yang jelas dan konkrit untuk membutirkan corak pemerintahan mereka.

"Mereka lebih banyak memberi kenyataan kabur atau tindakan berdiam diri apabila timbul isu-isu yang menjadi pertikaian khususnya membabitkan agama dan kaum seperti pelaksanaan (hukum) syariah dan kewujudan sekolah vernakular.

"Ditambah pula dengan kedudukan Dr Mahathir sebagai bekas Perdana Menteri dan Muhyiddin serta Anwar sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri, maka sudah tentulah mereka berebut-rebut mahu menempatkan diri pada kedudukan tertinggi," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang sangsi terhadap enam pemimpin pembangkang itu untuk bersatu.

Ahmad Husni semalam menamakan pemimpin pembangkang itu ialah Dr Mahathir (Pengerusi PPBM); Anwar (Penasihat Umum PKR), Muhyiddin (Presiden PPBM), Mohamad (Presiden PAN), Kit Siang (Ketua Parlimen DAP) dan Guan Eng (Setiausaha Agung DAP).

Ahli Parlimen Tambun itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 di Dewan Rakyat, berkata beliau amat mengenali pemimpin berkenaan yang dilihat tidak mampu bersatu di bawah satu bumbung bagi membawa Malaysia ke tahap lebih baik.

Kamarul Zaman turut menempelak perjuangan Kit Siang, Guan Eng dan Mohamad yang dilihat sering kali mengetengahkan idea yang lebih radikal seperti konsep kesamarataan apabila memerintah negara kelak.

Katanya, tiga pemimpin berkenaan tidak pernah berada dalam Kerajaan Perskeutuan, menyebabkan mereka berlumba-lumba memberi pelbagai idea yang berbeza supaya dapat digunakan sebagai 'modal' mengangkat diri.

Beliau juga pelik, bagaimana pemimpin dan ahli pakatan pembangkang boleh menerima sebagai sekutu dan memaafkan Dr Mahathir, sedangkan bekas Perdana Menteri itu pernah dilabel diktator, 'mahazalim' dan rasis oleh pembangkang sebelum ini.

"Selain menggelar Anwar sebagai pemimpin tidak bermoral, dulu Dr Mahathir dan Muhyiddin juga pernah melabel DAP sebagai anti-Melayu dan anti-Islam di samping menyifatkan sesiapa yang bersekongkol dengan DAP sebagai pengkhianat Melayu.

"Sebab itulah juga kita melihat hari demi hari ahli-ahli PPBM, PKR, DAP dan PAN keluar parti disebabkan tidak setuju dengan jalinan kerjasama politik antara mereka, termasuk paling baharu ADUN DAP Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu.

Penganalisis politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata pakatan pembangkang mula sangsi antara satu sama lain apabila mereka agak sukar melupakan sejarah silam Dr Mahathir yang pernah menindas mereka dan sekarang bekerjasama.

Katanya, perasaan curiga itu masih ada menyaksikan ada di antara ahli atau penyokong pembangkang mengungkit isu Operasi Lalang 1987.

Sumber : BH