Perlis Bersedia Hadapi Kemungkinan Banjir


KANGAR - Kerajaan negeri membuat persiapan bagi menghadapi kemungkinan banjir melanda negeri ini ekoran hujan lebat sejak tiga hari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Perpaduan negeri Hajah Rela Ahmad berkata beberapa sekolah telah dikenal pasti untuk dijadikan pusat pemindahan dan keperluan logistik juga disediakan.

Katanya, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man telah mengarahkan agensi berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri supaya membuka laluan air yang tersekat bagi mengelak berlaku banjir.

"Parit dan longkang di kiri dan kanan jalan di seluruh negeri ini juga telah dibersihkan sejak dua minggu lepas,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya antara kawasan yang sering dilanda banjir ialah Tebing Tinggi, Wang Besar, Wang Ulu, Jarak, Belanga Pudak, Telok Kacang, Telok Jambu, Sungai Batu Pahat, Abi, Panggau dan Padang Melangit dalam kawasan Dun Bintong.

Selain itu, Kampung Tok Kandang, Repoh dan Jalan Santan dalam DUN  Sena serta Kampung Bakau, Kota Keran dan Pengkalan Asam dalam DUN Indera Kayangan.

Rela meminta semua pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memaklumkan kepada pihak berkuasa jika berlaku banjir di tempat mereka supaya bantuan dapat disalurkan segera.

Kali terakhir banjir ialah September lepas yang menjejaskan 1,456 mangsa dari 418 keluarga sehingga terpaksa dipindahkan ke 24 pusat pemindahan di seluruh negeri. - Bernama