Perompak Gali Terowong Ke Tempat Simpanan Bank


NEW DELHI – Sekumpulan perompak telah menggali terowong sepanjang 7.6 meter untuk ke dalam tempat simpanan sebuah bank di bandar kewangan Mumbai, India, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan media tempatan pada Selasa.

Rompakan itu dipercayai berlaku di sebuah cawangan Bank of Baroda di kawasan Juninagar berhampiran Navi Mumbai pada awal hari Ahad.

Pegawai polis berkata mereka telah mendaftarkan kes itu dan menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut.

Menurut laporan, rompakan itu telah dirancang lebih lima bulan lepas.

Kakitangan bank menyedari tentang rompakan itu apabila mereka ke tempat kerja pada pagi Isnin dan memasuki bilik penyimpanan sebelum mendapati beberapa bilik kebal telah terbuka.

“Kami sedang meneliti rakaman CCTV. Bagaimanapun, nilai sebenar barangan yang dirompak belum dapat dipastikan,” kata seorang pegawai polis. – Bernama