MAT Zan Mat Aris yang pernah menjulang tiga kali trofi Piala Malaysia, ketika bersama skuad Kuala Lumpur berkongsi tips kepada pemain Kedah dan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) menjelang aksi final di Stadium Shah Alam, malam ini.
Menjelang pertembungan merebut trofi Piala Malaysia edisi ke-91 ini, Mat Zan yang pernah digelar ‘orang besi’ ketika era kegemilangannya menyatakan, faktor bermain sebagai satu pasukan adalah kunci utama kejayaan pasukan.
Jurulatih berpengalaman ini juga mengingatkan pemain harus tenang dan bijak mengawal perasaan, kerana beraksi di final yang disaksikan puluhan ribuan penyokong sendiri dan lawan bukannya satu tugas mudah, tetapi penuh berliku.
“Saya akui pengalaman ketika beraksi di pentas final, saya juga diselubungi perasaan gementar, namun selepas keyakinan menyerap dalam fikiran, perasaan itu hilang dan akhirnya saya mampu beraksi dengan baik.
“Saya percaya kedua-dua pengendali sudah pasti menerapkan strategi terbaik kepada pemainnya dalam misi menjulang trofi berprestij itu pada malam ini.
“Jika pemain berjaya menggalas tugas masing masing, pasukan berkenaan mampu muncul juara,” kata Mat Zan yang turut mahukan pemain menilai kelemahan dan keupayaan lawan pada babak pertama perlawanan.
Sepanjang kariernya sebagai pemain, jurulatih berusia 59 tahun itu merangkul trofi Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut pada tahun 1987, 88 dan 89, - namun yang menariknya, tiga aksi final itu adalah bertemu Kedah.
Sebagai jurulatih, bekas pemain tengah kebangsaan itu pernah membawa pasukan Terengganu menjulang Piala Malaysia pada 2001, buat kali pertama dalam sejarah skuad itu serta menjuarai Piala FA ketika membimbing Kuala Lumpur pada tahun 1999.
Bekas jurulatih AIR ASIA (Petaling Jaya Rangers) ini memilih Kedah sebagai juara, biarpun ramai pemerhati bola sepak meramalkan Johor DT bakal dinobatkan sebagai pemenang.
“Saya pilih Kedah kerana kekuatan utama pasukan itu adalah bermain sebagai satu pasukan, selain pemain skuad kendalian Nidzam Adzha Yusoff sudah lama bersama, berbanding Johor DT yang lebih kepada corak permainan individu.
Kedua-dua pasukan itu sudah biasa bermain di pentas final, jadi bagi saya, tidak ada masalah buat pemain untuk mengawal permainan,” katanya.
Sebagai rekod, selain mengemudi Terengganu menjulang Piala Malaysia, Mat Zan juga pernah membimbing skuad Melaka, KL Plus, Pos Malaysia, Telekom Melaka dan bertindak sebagai penolong jurulatih Harimau Muda.
Sumber: MyMetro